mutakhir

'Saya dah kata'

Oleh Fahmy Azril Rosli

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak berkata, Barisan Nasional (BN) pernah memberi amaran mengenai perubahan sistem cukai secara sesuka hati kerana boleh memberi kesan terhadap harga barang.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, ini kerana harga barang tidak mengalami penurunan selepas Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) disifarkan.

Beliau juga bimbang apabila cukai Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperkenalkan semula dan diperluaskan pada September depan akan memberi kesan terhadap harga barang, mungkin jauh lebih tinggi berbanding sebelum GST disifarkan.

“Terkejut saya pagi ini apabila membaca kenyataan Menteri Pakatan Harapan (PH) yang mengakui GST bukan sebab utama harga barang naik, biarpun itulah modal dan tohmahan digunakan terhadap kerajaan sebelum pilihan raya.

“Pada masa itu, PH tidak menerima jawapan kita, malah mempersendakannya. Kini Pakatan Harapan terpaksa menelan hakikat di sebalik tuduhan mereka sendiri.

“Inilah bahaya apabila sistem cukai diubah sesuka hati dan BN pernah memberi amaran sebelum PRU14 mengenai ini,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook, semalam.

Beliau berkata demikian, mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang dilaporkan Malaysiakini sebagai berkata, penurunan harga barangan yang rendah menjadi punca rakyat masih belum merasai sepenuhnya pelaksanaan GST pada kadar sifar sejak 1 Jun lalu.

Saifuddin berkata, harga barangan dilihat kekal kerana penurunan harga hanya bermula dari 0.04 hingga 13 peratus dan membabitkan 70 peratus daripada 417 barangan basah, kering, keperluan bayi dan lain-lain.

“Sebenarnya kenaikan tidak berlaku, tetapi jumlah penurunan harga barangan itu sangat kecil, ia tidak mencapai 30 hingga 40 peratus,” katanya.

Mengulas lanjut, Najib berkata ini sudah tentu memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat dan ini bertentangan dengan janji PH yang memberi setinggi harapan untuk menurunkan kos sara hidup dalam manifesto mereka.

Beliau berharap, kerajaan PH akan membuat sesuatu untuk memastikan kebimbangan ini tidak menjadi kenyataan.

Disiarkan pada: July 13, 2018 @ 11:08am
d