mutakhir

Hati-hati, ada buaya...

Oleh Mohd Nazllie Zainul

JABATAN Hidupan Liar (JHL) meletakkan papan tanda amaran susulan terdapat buaya yang ditemui orang ramai di kolam tebatan banjir Likas, Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Jurucakap JHL Sabah, Siti Nur’Ain Ampuan Acheh berkata, pihaknya memasang papan tanda amaran itu di tiga lokasi berhampiran kolam berkenaan.

Katanya, papan tanda amaran itu dipasang untuk memberi amaran kepada orang awam agar sentiasa berhati-hati dan tidak memasuki kawasan kolam terbabit sama ada untuk beriadah, memukat atau memancing ikan.

"Kita memandang serius aduan berkaitan buaya seumpama ini dan pastinya tidak mahu berlaku sebarang kejadian membabitkan nyawa.

"Oleh itu, kita harap orang awam mematuhi arahan sehingga kita berjaya menangkap buaya di kawasan terbabit," katanya menerusi kenyataan di sini.

Dalam pada itu, Siti Nur’Ain berkata, buaya yang dilaporkan berada di kolam terbabit sehingga kini masih belum ditangkap.

"Kakitangan Unit Penyelamat Hidupan Liar dari JHL sudah memasang beberapa perangkap dan membuat tinjauan dua kali sehari di kawasan berkenaan," katanya.

Minggu lalu, JHL Sabah memasang dua perangkap buaya di sekitar kolam tebatan banjir Likas susulan laporan penemuan reptilia itu.

Disiarkan pada: July 13, 2018 @ 11:15am
d