mutakhir

Lelaki terkilan tidak diberitahu isteri meninggal

Oleh Noor Azurin Mohd Sharif

Jasin: Betapa terkilannya seorang suami apabila hanya mengetahui berita kematian isterinya yang dirawat di sebuah hospital, di sini selepas lebih tujuh jam wanita itu meninggal dunia, pagi Rabu lalu.

Zakaria Simon, 61, mendakwa dia tidak dimaklumkan pihak hospital mengenai kematian itu dan hanya mengetahui sebaik datang menziarahi isterinya, Roslin Anuar, 57, pada waktu melawat kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Katanya, dia terkejut apabila mendapati katil arwah isterinya sudah dikemas dan dikosongkan, malah lebih memilukan apabila dimaklumkan isteri sudah meninggal dunia.

“Arwah (isteri) yang menghidap ketumbuhan pada otak mula dimasukkan ke hospital terbabit pada jam 12.30 tengah malam Selasa lalu kerana keadaannya yang semakin lemah.

“Bila datang waktu melawat jam 12.30 tengah hari, pihak hospital memaklumkan isteri saya sudah meninggal dunia dan kematiannya disahkan pada jam 5.10 pagi,” katanya ketika ditemui.

Dia ditemui selepas dikunjungi Pengerusi Biro Kebajikan, Pembangunan Masyarakat (Pusat Khidmat Masyarakat) Majlis Jaksa Pendamai Melaka Amir Hamzah di Kampung Chin Chin, di sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pelawat Hospital Jasin Ahmad Baharuddin dan Ketua UMNO Cawangan Kampung Chin Chin Mustafa Baharom.

Zakaria berkata, dia kecewa kerana tiada seorang pun yang menghubunginya bagi memaklumkan perkara itu, sedangkan nombor telefon bimbit sudah diserahkan kepada pihak berkenaan.

“Memang saya kecewa, sedangkan ketika isteri dibawa menaiki ambulans, pihak mereka ada mengambil nombor telefon saya, termasuk ketika membuat pendaftaran dan berada di wad.

“Terkilan apabila saya sebagai suami tidak ada bersamanya sewaktu dia menghembuskan nafas terakhir,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Baharuddin berkata, pihaknya yang bersimpati dengan nasib Zakaria akan memanjangkan isu terbabit ke mesyuarat Ahli Lembaga Pelawat Hospital Jasin.

Disiarkan pada: July 13, 2018 @ 11:18am
d