mutakhir

Jom sertai peraduan meriahkan final Piala Dunia

Oleh Mary Victoria Dass

SUDAH menjadi tradisi bagi pengusaha Restoran E&Y (Sahul) di Adda Heights, Johor Bahru, mengadakan pelbagai peraduan bagi memeriahkan suasana menonton aksi perlawanan akhir bola sepak Piala Dunia sejak lebih 10 tahun lalu.

Pengusaha restoran berkenaan, Sahul Hameed E Yaccob berkata, pihaknya tidak melepaskan peluang untuk merancakkan lagi suasana menonton aksi perlawanan akhir pada Ahad ini dengan penganjuran pelbagai aktiviti menarik.

Menurutnya, antara peraduan diadakan termasuk cabutan bertuah, pertandingan makan dan minum, teka jaringan, kuiz bola sepak, teka berat replika piala dunia, tendang bola dan teka bola dalam balang.

Katanya, pelanggan bertuah bukan sahaja dapat menyaksikan perlawanan di layar gergasi, malah berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk televisyen 50 inci.

“Kami akan menjalankan pelbagai aktiviti seawal 9.30 malam sebelum menunggu perlawanan akhir bermula pada 11 malam.

“Antara hadiah menarik untuk dibawa pulang seperti televisyen, jersi pasukan, kasut, bola, barangan elektrik dan baucar,” katanya.

Sahul berkata, setiap pelanggan boleh menyertai peraduan berkenaan dengan hanya perlu berbelanja sekurang-kurangnya RM5 dalam satu resit.

Beliau berkata, ia bertujuan memeriahkan sambutan final Piala Dunia 2018 selain menghargai pelanggan setia yang selalu menonton perlawanan bola sepak di restorannya.

“Saya berharap aktiviti dan pertandingan dianjurkan ini mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat bola sepak.

“Kami mensasar lebih 2,000 penonton di aksi final itu dan melakukan pelbagai persiapan demi keselesaan ramai,” katanya.

Disiarkan pada: July 13, 2018 @ 4:50pm
d