mutakhir

Pelantikan Malanjum tidak jejas kedudukan Islam

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

PELANTIKAN Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara tidak akan menjejaskan kedudukan Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, tidak timbul isu agama Islam tidak selamat susulan pelantikan Malanjum dan beliau menyifatkan, ia hanya persepsi digambarkan menerusi media sosial.

Katanya, tindakan itu adalah motif bagi menggambarkan kerajaan baharu hari ini seolah-olah tidak menjaga Islam dan Melayu.

“Beliau dilantik atas 'seniority' (kekananan) dan sudah sampai layak (dilantik) malah, Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V turut memperkenankan dan ini bermakna, baginda tidak akan memperkenankan sesuatu bercanggah dan merosakkan agama sedangkan baginda adalah pelindung agama.

“Ya betul, kita mencadangkan (nama) tetapi baginda boleh saja untuk tidak bersetuju sekiranya apa yang dikata di luar sana menggugat Islam dan sebagainya," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Rumah Terbuka Aidilfitri Kompleks Nasyrul Quran di Putrajaya, hari ini.

Rabu lalu, Malanjum mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Beliau menerima surat cara pelantikan daripada Sultan Muhammad V dalam satu upacara di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, persepsi yang ditimbulkan itu adalah kenyataan politik untuk merendahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya menimbulkan kononnya Islam tidak dijaga.

“Bagi saya kewujudan Ketua Hakim Negara adalah untuk melaksanakan keadilan dan Islam itu mementingkan keadilan.

“Justeru, saya menyeru kepada orang ramai supaya berhenti menimbulkan perkara yang boleh menjejaskan.

“Ini bukan soal menjejaskan kerajaan kami tetapi menjejaskan keutuhan dan kemakmuran yang selama ini terbina atas proses undang-undang yang kita semua terima pakai dan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja pastinya tidak akan buat sesuatu untuk merosakkan agama," katanya.

Disiarkan pada: July 13, 2018 @ 6:39pm
d