mutakhir

MyCC siasat penggabungan Grab dan Uber

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi perhatian terhadap isu penggabungan Grab dan Uber termasuk aduan kenaikan tambang dan monopoli dalam perkhidmatan e-hailing.

KPDNHEP dalam satu kenyataan hari ini berkata, perkara itu akan disiasat Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), agensi kementerian yang mempunyai kuasa untuk sebarang tindakan menerusi Akta Persaingan 2010.

“MyCC mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak apabila penggabungan menyebabkan terbentuknya monopoli di dalam pasaran.

“Monopoli itu menyalahgunakan kedudukan seperti yang termaktub di bawah Seksyen 10 Akta Persaingan 2010,” katanya.

Selain itu, KPDNHEP berkata, pemakluman mengenai tindakan MyCC juga sudah dibentangkan kepada kementerian.

“Ia berhubung langkah konkrit ke arah penyiasatan berskala penuh selepas membuat penilaian terhadap aduan dan menjalankan analisa maklum balas oleh Grab dan Uber yang diterima MyCC awal minggu ini,” katanya.

Disiarkan pada: July 13, 2018 @ 6:46pm
d