mutakhir

Sepatutnya tidak berlaku penderaan - Hakim [METROTV]

Oleh Siraj Mohd Zaini

“KAMU sebagai pengasas dan bertanggungjawab terhadap pusat berkenaan, sepatutnya tidak berlaku penderaan oleh penghuni senior terhadap mangsa,” kata Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Zulkifli Bakar.

Beliau berkata demikian selepas menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM20,000 kepada Jalaluddin Abdul Subhan, 28, yang didapati bersalah mencederakan seorang penghuni pusat pemulihan akhlak di Bukit Beruntung, Hulu Selangor, tiga tahun lalu.

Turut didapati bersalah, dua lagi penghuni senior pusat pemulihan berkenaan iaitu Muhammad Haziq Syahmi Zainal, 26, dan Mohamad Hasbi Harris, 32, yang masing-masing dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM10,000 atas kesalahan mencederakan Allahyarham Ezzuan Hafifi Rosli, 30, pada 2 hingga 6 Mei 2015 lalu.

Dalam prosiding berkenaan, Zulkifli memerintahkan hukuman berjalan serta-merta dan sekiranya semua mereka gagal membayar denda, masing-masing boleh dipenjara setahun dan dua tahun.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama beberapa orang lain yang masih bebas, didakwa melakukan perbuatan mencederakan Ezzuan Hafifi di No 7 Jalan Mawar 3A/4 Prima Beruntung, Hulu Selangor pada 2 hingga 6 Mei 2015.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh didenda penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aidatul Azura Zainal Abidin manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Amirul Ridzuan Hanif.

Difahamkan, semua tertuduh sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, namun pertuduhan itu ditukar pada akhir prosiding pendakwaan.

Sementara itu, suasana prosiding berkenaan bertukar menjadi sayu apabila ibu mangsa, Harina Kamariah, 51, tampil dan memberikan pernyataan impak daripada keluarga mangsa kepada hakim.

Katanya, arwah anaknya meninggalkan isteri dan dua anak berusia lima serta tujuh tahun yang kini hanya bergantung hidup dengan berniaga kuih.

“Saya sebagai ibu rasa sedih atas kematiannya, selalu terbayang cara kematian anak saya yang menyayat hati. Saya berharap mahkamah memberikan hukuman setimpal kepada pesalah yang menyebabkan kematian.

“Balu arwah kini menjual kuih dan letak kuih itu di kedai. Jika ada masa, saya yang jaga cucu dan menantu. Saya tidak boleh tidur waktu malam kerana asyik terbayang arwah,” katanya.

Dalam pada itu, Aidatul memohon mahkamah mengenakan hukuman maksimum kerana tragedi itu menyebabkan kematian.

“Tertuduh ada memukul, menampar dan memijak mangsa, berdasarkan laporan forensik, sebanyak 14 tulang rusuk mangsa patah, perbuatan itu adalah akibat daripada tindakan mereka.

“Berdasarkan pernyataan impak juga, keluarga menanggung akibatnya seumur hidup, meskipun hukuman sudah tamat, tetapi penderitaan keluarga tidak akan habis,” katanya.

Disiarkan pada: July 13, 2018 @ 9:44pm
d