mutakhir

Kolaborasi strategik PTPTN dan agensi

Oleh Siti Nurazlinee Azmi

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus mengorak langkah dalam menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan dan swasta bagi memperluaskan program Sahabat PTPTN untuk membantu kutipan bayaran balik pembiayaan pendidikan dan simpanan SSPN secara konsisten melalui potongan gaji.

Inisiatif yang diperkenalkan itu bukan sahaja menggalakkan lebih ramai kakitangan masing-masing menyelesaikan pinjaman pendidikan dan menabung secara konsisten, sebaliknya dapat menjana pendapatan sampingan kepada agensi terbabit.

Sehingga kini sebanyak 4,358 agensi kerajaan dan swasta menyertai program Sahabat PTPTN. Sebagai menghargai majikan yang mendaftar sebagai Sahabat, PTPTN memberikan sijil penghargaan di peringkat negeri berdasarkan komitmen kakitangan sahabat PTPTN yang paling ramai melaksanakan potongan gaji bagi bayaran balik pinjaman PTPTN dan penabungan SSPN.

Sijil penghargaan juga diberikan kepada Sahabat PTPTN paling aktif berdasarkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).

PTPTN meraikan agensi yang turut serta dalam program Sahabat PTPTN tempoh hari di beberapa kawasan termasuk Kuala Lumpur, Johor, Kelantan, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Di Kuala Lumpur, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) adalah antara agensi yang menyahut seruan PTPTN bagi mewujudkan kolaborasi strategik dan merangkul anugerah kategori komisen tertinggi selepas menjadi Sahabat PTPTN, Mac lalu.

Timbalan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan dan Sumber Manusia JKDM, Abdul Razak Anwar, berkata selain menggalakkan kakitangan melaksanakan bayaran balik pinjaman PTPTN, pembukaan akaun dan penambahan deposit SSPN melalui potongan gaji program itu juga menjana pendapatan sampingan kepada JKDM.

“Program Sahabat PTPTN jelas menunjukkan kolaborasi yang dijayakan oleh semua pihak di mana majikan dapat melaksanakan tanggungjawab bagi membantu dan memudahkan kakitangan melaksanakan bayaran balik pinjaman PTPTN dan penabungan pendidikan SSPN.

“Pekerja pula dapat menunaikan tanggungjawab membayar balik pinjaman PTPTN dengan menikmati diskaun 10 peratus dan merancang penabungan pendidikan untuk anak-anak melalui SSPN dengan menikmati pelbagai keistimewaannya seperti perlindungan takaful, dividen dan pelepasan taksiran cukai.

“Di JKDM, pembukaan akaun SSPN turut dijayakan melalui Anugerah Pekerja Cemerlang (APC) iaitu JKDM akan membuka akaun kepada pekerja cemerlang dengan caruman RM1,000 ke dalam akaun SSPN.

“Mereka turut menerima perlindungan takaful bernilai RM40,000 selama enam bulan secara percuma, cabutan khas APC yang menyediakan hadiah istimewa bernilai RM50,000 berupa iPhone X atau Huawei P10 serta peluang berganda Cabutan WOW! 2018,” katanya.

Sementara itu Sahabat PTPTN Terbaik Kelantan adalah dari Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan manakala Sahabat APC Teraktif dari Jabatan Pendidikan Kelantan.

Timbalan Bendahari USM Kampus Kesihatan, Wan Mazlan Wan Abd Rahman, berkata program itu bukan saja memudahkan pekerja membuat perancangan bayaran balik pinjaman malah dapat memberi insentif kepada majikan.

“Sehingga kini, seramai 550 kakitangan menyertai program ini. Oleh itu saya menyarankan kepada agensi kerajaan dan swasta menyertai program ini segera,” katanya selepas menerima sijil penghargaan yang disampaikan Pengurus Besar PTPTN Kelantan, Mohd Azrul Akmal Mamat dalam Majlis Meraikan Sahabat Pejabat PTPTN di Kelantan, baru-baru ini.

Ketua Unit Naik Pangkat dari Jabatan Pendidikan Kelantan, Mohd Azhar Zahari, berkata pihaknya menyertai program ini kerana mempunyai banyak keistimewaan seperti insentif sebanyak RM5 bagi setiap penerima APC sekali gus memberi manfaat kepada JPN.

“Saranan saya supaya mereka yang masih belum menjadi Sahabat PTPTN dan belum menjadikan SSPN sebagai APC kepada pekerja supaya mengambil peluang,” katanya.

Sementara itu, penghargaan turut diberikan kepada PPD/sekolah yang memperoleh bilangan akaun SSPN tertinggi bagi kategori Geran Sepadan RM500 iaitu Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu yang diwakili Penolong Pegawai Pendidikan (Pengurusan Sekolah) PPD Kota Bharu, Nik Sazila Nik Abdullah.

Katanya, pihaknya mengetahui pemberian Geran Sepadan RM500 kepada ibu bapa yang mempunyai anak berumur 7 hingga 12 tahun menerusi akhbar, risalah, televisyen dan Facebook dan tertarik untuk menyertainya.

Di Johor pula, Pengurus Besar PTPTN Negeri, Muhammad Faizal Adnan, berkata sepanjang tahun lalu hingga Mei ini, sebanyak 619 agensi sahabat di Johor bekerjasama dengan PTPTN negeri ini sebagai tanggungjawab memastikan warga kerja mereka membuat bayaran balik pinjaman dan membudayakan penabungan pendidikan.

“Program Sahabat PTPTN ini jelas menunjukkan kerjasama strategik yang dianggap berjaya,” katanya.

Sempena program itu, tiga agensi Sahabat PTPTN Johor turut menyalurkan sumbangan berbentuk akaun SSPN kepada 15 pelajar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang terpilih di daerah Johor Bahru. Agensi itu adalah Jabatan Penjara Kluang, Kolej Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (KPYPJ) dan Kolej Sunway.

Pada majlis berkenaan, PTPTN Negeri Johor turut menyampaikan penghargaan kepada Sahabat APC Teraktif dan tiga sekolah yang memperoleh bilangan akaun SSPN tertinggi bagi kategori Geran Sepadan RM500.

Pihak majikan boleh menghubungi Pejabat PTPTN Negeri yang berdekatan atau talian Careline 03 – 2193 3000 bagi tujuan penyertaan Sahabat PTPTN dan kolaborasi memilih SSPN sebagai hadiah APC.

Disiarkan pada: July 14, 2018 @ 10:02am
d