mutakhir

Semoga operasi haji 1439H lancar, dipermudahkan

Oleh Tuan Asri Tuan Hussein

KIRA-KIRA 150 petugas Tabung Haji (TH) menunaikan solat hajat, membaca yasin dan memanjatkan doa memohon segala operasi haji tahun ini berjalan lancar dan dipermudahkan Allah SWT.

Program menjadi tradisi petugas TH pada musim haji setiap tahun itu diadakan di surau pejabat operasi TH Madinah pada Jumaat malam dan diketuai Pembimbing Ibadat Haji TH Ustaz Ramli Ibrahim.

Turut hadir, Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan) Nurinanuwar Shamsuddin, Timbalan Ketua Rombongan Haji (Prerubatan) Dr Mohd Shaffari Marzuki dan Pengarah Operasi (Madinah) Affandi Abdullah.

Nurinanuwar berkata, memang jadi tradisi sebelum bermula operasi haji, Madinah sebagai sektor yang memulakan operasi akan adakan majlis doa selamat dan solat hajat.

“Kami bersama-sama menunaikan solat hajat membaca yasin dan doa selamat memohon kepada Allah SWT agar diberi kejayaan untuk operasi haji 1439 Hijrah ini, bukan saja di tanah suci tapi juga di tanah air.

“Kami harap bukan saja bakal haji, tapi petugas haji dapat tunaikan haji dalam keadaan baik dan selamat,” katanya ketika ditemui sebaik saja program berkenaan berakhir.

Kumpulan pertama membabitkan 483 jemaah dijadualkan tiba dengan pesawat Airbus A380 di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz di Madinah, 10 pagi Sabtu waktu tempatan.

Nurinanuwar mengulangi peringatan kepada jemaah haji agar menjaga kesihatan serta bersedia dengan cuaca panas melebihi 40 darjah Selsius di Makkah dan Madinah.

Beliau turut meminta jemaah mematuhi arahan petugas TH semasa mengikuti program ziarah yang dirancang sepanjang berada di bandar ini sebelum bertolak ke Makkah bagi menyempurnakan ibadat haji.

Disiarkan pada: July 14, 2018 @ 1:31pm
d