mutakhir

'Fast track' lancarkan urusan jemaah haji [METROTV]

Oleh Daripada Tuan Asri Tuan Hussein

“BERJALAN lancar... syabas."

Demikian kata Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Zainal Rahim Zainuddin mengenai perkhidmatan ‘fast track’ atau pelepasan segera kepada jemaah haji Malaysia sejurus menyambut kumpulan pertama jemaah yang tiba di Madinah, hari ini.

Menurutnya, selepas pesawat Airbus A380 yang membawa 483 jemaah haji mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz di sini pada 9.25 pagi, proses pelepasan dilakukan tidak sampai sejam sebelum jemaah terus menaiki bas yang sedia menunggu.

Zainal Rahim menyambut ketibaan jemaah yang menaiki bas pertama di Hotel Movenpick di sini bersama hampir 100 petugas Tabung Haji (TH).

Turut serta, Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan) Nurinanuwar Shamsuddin, Konsul Haji Mohammad Saimi Mat Som dan Pengarah Operasi TH Madinah, Affandi Abdullah.

Bas pertama tiba di hotel pada 10.45 pagi. Jemaah kemudian diberikan bunga dan disajikan dengan minuman ringan jus buah-buahan serta jus kurma.

Zainal Rahim berkata, beliau bersyukur kerana segala proses lancar dan khidmat pelepasan segera itu yang mula diperkenalkan tahun ini, memberi impak yang amat besar dalam melancarkan perjalanan operasi haji.

"Saya bersyukur dan menganggap hari ini sebagai hari penting. Syabas dan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi kerana banyak membantu memudahkan urusan haji jemaah Malaysia," katanya dalam sidang media kepada wartawan Malaysia.

Menurutnya, Malaysia adalah negara pertama yang diberi keistimewaan oleh Arab Saudi untuk melaksanakan perkhidmatan pelepasan segera itu di mana urusan imigresen kedua-dua negara dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Beliau yakin keistimewaan itu diberikan atas dasar hubungan erat antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi sejak sekian lama, selain imej jemaah haji Malaysia yang memang terkenal sebagai amat berdisiplin.

Sementara itu, beberapa jemaah yang ditemui turut memuji serta mengakui keberkesanan perkhidmatan pelepasan segera itu.

Azmi Yusof, 66, dari Alor Setar, Kedah berkata, dia bersama empat ahli keluarganya tidak sangka proses di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz mengambil masa tidak sampai satu jam.

"Cepat sungguh. Dalam masa 30 hingga 45 minit saya dan keluarga sudah diminta menaiki bas. Terima kasih kepada TH dan kerajaan kerana memberikan kemudahan ini," katanya.

Azmi bakal menunaikan ibadat haji bersama isteri, Che Pok Mansor, 65 dan mereka ditemani anak saudara Mohd Nadzri Mohd Khir, 48 dan isteri Siti Anizawati Muhamd Ehwan, 45,

Disiarkan pada: July 14, 2018 @ 7:25pm
d