mutakhir

Ramasamy, Zakir Naik dicadang debat terbuka...

Oleh Muhammad Mustakim Ramli

MUFTI Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan pendakwah Islam terkenal, Dr Zakir Naik dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr P Ramasamy berdebat secara terbuka.

Beliau berkata, debat berkenaan juga perlu disiarkan secara langsung untuk disaksikan setiap lapisan rakyat.

“Atas semangat Malaysia Baharu yang terbuka dan telus dalam membuat penilaian secara matang dan ilmiah, saya ingin mencadangkan satu debat antara Dr Zakir dan Ramasamy dibuat segera.

“Tajuknya 'Who Is The Real Terrorist?' (Siapa Pengganas Sebenar?). Siaran langsung media hendaklah diberikan ruang. Biar rakyat menjadi saksi tentang polemik ini,” katanya menerusi laman sosial Facebooknya DrMAZA.com, hari ini.

Dr Zakir sebelum ini dikaitkan oleh kerajaan India dengan kegiatan keganasan di negara itu sehingga terdapat permohonan ektradisi ke atas beliau, manakala Ramasamy turut dikaitkan dengan kegiatan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Sri Lanka.

Mohd Asri berkata, jika benar pemimpin DAP itu mementingkan kebebasan bersuara, nilai intelektual dan hak rakyat menilai kebenaran, mereka wajar menyahut cadangan itu.

“Jika enggan, maka nyata isu ini hanya sikap permusuhan antara mereka dan umat Islam semata-mata.

“Berdasarkan desakan mereka, maka saya cadangkan sesiapa yang tewas dalam debat mungkin boleh dihantar pulang ke India seperti yang menjadi hasrat mereka. Salah seorang akan pulang ke sana,” katanya.

Beliau juga berharap semua pihak khususnya rakyat sama-sama membantu menggesa debat itu diadakan dengan segera.

Disiarkan pada: July 14, 2018 @ 7:33pm
d