mutakhir

Srikandi api

Oleh Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Apabila berbicara mengenai pasukan bomba, sudah terbayang ‘abang bomba sado’ yang memandu trak, memikul hos, memadam api dan memanjat bangunan untuk menyelamatkan mangsa.

Namun di sebalik kehadiran lelaki sasa ini, wujud srikandi bomba yang nampak lembut dan ayu namun memikul tanggungjawab serta tugas sama berat dipikul anggota bomba lelaki.

Peluang menemubual tiga srikandi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur ini membuktikan kaum Hawa juga mampu melakukan tugas diberikan.

Ertynah Justan, 25, berasal dari Tongod, Sabah, yang kini bertugas dalam Unit Penyelamatan Bangunan Tinggi (HRRT) JBPM Kuala Lumpur berkata, dia pernah digelar ‘puteri lilin’ kerana tidak tahan jika berada di bawah sinaran matahari ketika zaman kanak-kanak.

“Saya tidak tahan jika berjemur di bawah sinaran matahari, hidung saya akan berdarah dan saya akan mudah pitam. Keluarga saya di Sabah membuat kerja bercucuk tanam dan apabila tiba waktu tengah hari, saya akan balik ke rumah lebih awal kerana tidak tahan.

“Ketika mendapat tawaran untuk menyertai bomba, saya tidak menolaknya, namun terfikir, adakah saya mampu menjalankan tugas sedangkan saya tidak boleh berjemur di bawah matahari.

“Ketika menjalani latihan rekrut di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wilayah Sabah dua tahun lalu, saya kerap pitam dan muntah, namun saya tidak pernah patah semangat, malah ia membuatkan saya lali,” katanya ketika ditemui semalam.

Ditanya sama ada dia secara sukarela menyertai pasukan HRRT, Ertynah berkata, dia sendiri mahu berada dalam pasukan berkenaan kerana gemar melakukan aktiviti menggunakan tali.

“Hanya dua wanita dalam pasukan HRRT di Kuala Lumpur. Saya mahu membuktikan kepada semua bahawa wanita juga mampu melakukan tugas seperti lelaki. Saya tidak mahu orang memandang rendah terhadap wanita,” katanya.

Seorang lagi anggota, Fatin Syazwani Halim, 24, gadis berasal dari Kabong Sarawak menyertai JBPM sejak 2017 dan kini bertugas di Bahagian Latihan JBPM Kuala Lumpur.

Dia yang sering mengikut bapanya ke laut menggunakan bot untuk mencari rezeki ketika usia kanak-kanak dan remaja memberi kelebihan kepadanya dari segi kekuatan fizikal.

“Saya memang minat untuk menjadi bomba sejak kecil kerana pasukan ini melakukan kerja murni dengan menyelamatkan orang dan memadam kebakaran,” katanya.

Anak jati Kuala Lumpur, Siti Farhana Baharom, 31, sama sekali tidak menyangka bahawa dia akan bergelar anggota bomba kerana ibunya sendiri menggelarkannya ‘lembik’.

“Ketika mendapat tawaran untuk menyertai bomba, ibu saya ragu-ragu sama ada saya mampu melakukan tugas seperti memadam api dan sebagainya yang kebiasaannya dilakukan lelaki.

“Sebelum tiba hari ujian fizikal, saya membuat persiapan fizikal dengan meminta bantuan anggota bomba di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah dengan melakukan beberapa latihan seperti menegakkan tangga bomba, mengangkat hos dan sebagainya,” katanya.

Disiarkan pada: July 15, 2018 @ 9:28am
d