mutakhir

18 kes HFMD di Kampung Kiau

Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah

LAPAN BELAS kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dikesan di Kampung Kiau, Kota Belud, kebanyakannya membabitkan kanak-kanak prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kiau.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Stephen Wong dalam kenyataan hari ini berkata, berikutan penularan penyakit itu, Jabatan Kesihatan negeri mengarahkan prasekolah SK Kiau ditutup selama 10 hari bermula semalam.

Beliau berkata tindakan itu bagi memastikan rantaian jangkitan HFMD diputuskan, selain untuk melaksanakan kerja pembersihan premis.

"Pada 10 Julai, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Belud telah menerima tiga notifikasikes penyakit HFMD.

"Verifikasi telah dilakukan dan mendapati dua kes adalah murid prasekolah SK Kiau.

"Kedua-duanya mengalami gejala ulser di mulut, tangan dan kaki. Pengesanan kes secara aktif mendapati 11 orang disahkan HFMD iaitu enam orang murid prasekolah (juga dari SK Kiau) dan lima orang kontak keluarga.

"Sehingga 12 Julai 2018, melalui pengesanan kes secara pasif, tujuh orang dinotifikasikan, menjadikan jumlah kes di Kampung Kiau sebanyak 18 kes," katanya.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan negeri akan terus mengambil langkah perlu bagi mengawal penularan penyakit berkenaan.

Disiarkan pada: July 15, 2018 @ 9:29am
d