mutakhir

Lantikan Siti Aishah diketahui 20 Julai ini

Oleh Balqis Jazimah Zahari

KEPUTUSAN sama ada Ketua Srikandi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Siti Aishah Shaik Ismail dilantik menjadi penasihat Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu atau sebaliknya akan diketahui, 20 Julai ini.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, berkata perkara itu akan diputuskan pada Mesyuarat Pakatan Harapan (PH) negeri yang berlangsung pada hari berkenaan.

Mohammad Nizar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat berkata, sehingga kini, penangguhan pelantikan jawatan yang bertaraf EXCO itu masih belum mencapai keputusan rasmi.

“Jumaat ini (20 Julai) dibincangkan secara menyeluruh dan selepas itu baru kita (PH) mendapat keputusan sama ada Siti Aishah boleh atau tidak dilantik serta apa jawatan sebenarnya.

“Jadi buat masa ini (keputusan pelantikan) masih terawang-awang lagi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Silaturahim Sambutan Aidilfitri 2018 di Masjid Al Hidayah, Ipoh, hari ini.

Beliau turut mengulas mengenai dakwaan pihak tertentu yang mempertikai perlantikan Siti Aishah dan menganggapnya sebagai satu pembaziran.

“Kita mengambil kira semua aspek pelantikan iaitu sama ada pegawai dilantik boleh melaksanakan kerja atau tidak. Semua ini akan diambil kira, jadi bukan membazir atau tidak perlu.

“Bukan hanya jawatan dalam pejabat Menteri Besar sahaja tetapi jawatan lain pun kita kaji semula.

“Itu sebabnya Menteri Besar baru-baru ini mengatakan tujuh pegawai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sudah kena pecat... itu kajian semulalah tu,” katanya.

Disiarkan pada: July 15, 2018 @ 2:53pm
d