mutakhir

Nasib baik tak kait sarang tebuan

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

WARGA emas terkejut apabila mendapati tempat bermain cucunya di bawah pokok mangga di halaman rumah di Felda Pasoh Tiga, di sini, menjadi tempat tebuan tanah bersarang.

Shukor Yatim, 65, berkata dia menyedari sarang serangga berbisa itu ketika mengait buah manggis kira-kira 9 pagi semalam.

Katanya, dia terkejut apabila melihat sarang tebuan tanah di dahan pokok mangga bersebelahan pokok manggis yang menjadi tempat cucunya bermain.

“Saya memberi amaran kepada ahli keluarga dan jiran supaya tidak menghampiri pokok berkenaan bagi mengelak perkara tidak diingini.

“Saya menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Jempol meminta bantuan mereka musnahkan sarang tebuan tanah itu,” katanya.

Sementara itu jurucakap APM Jempol berkata, sarang dianggarkan seberat 15 kilogram itu dimusnahkan pada jam 8.30 malam tadi oleh lima anggota.

Katanya, pihaknya mengambil masa 15 minit bagi memusnahkan sarang serangga itu dengan membakarnya.

Disiarkan pada: July 15, 2018 @ 3:35pm
d