mutakhir

Harga durian rendah sebab 'musim besar'

Oleh Ismail Muhamad

PENURUNAN harga durian termasuk Musang King ketika ini disebabkan ‘musim besar’ pengeluaran raja buah itu, kata Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak.

Beliau berkata, pihaknya tidak menganggap ia sebagai lambakan buah bagi pasaran negara, sebaliknya memberi peluang kepada orang ramai untuk menikmati durian yang berkualiti tinggi.

Malah, katanya, durian Musang King kini berharga antara RM20 hingga RM30 sekilogram berbanding RM60 hingga RM70 sekilogram, sebelum ini.

“Rakyat sekarang menjadikan musim durian sebagai pesta makan buah dan dengan musim pengeluaran besar raja buah ini, ia memberi pilihan kepada mereka untuk menikmatinya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Hari Bertemu Pelanggan di pejabat FAMA Kelantan di RTC Kelantan di Tunjung, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan mencatat nilai jualan yang paling tinggi berbanding 10 RTC lain di Malaysia, dengan rekod RM287 juta untuk Januari hingga akhir Jun lalu.

Beliau berkata, perolehan itu akan membolehkan RTC Kelantan capai sasaran RM300 juta, akhir tahun ini.

“Untuk Ramadan dan Aidilfitri lalu, jualan cecah RM21 juta dan kita dapati RTC ini menjadi kompleks pemasaran kekal yang mampu menjana jualan tinggi setiap tahun.

“Malah, kewujudannya membawa pelbagai kemudahan kepada usahawan industri asas tani termasuk dalam memperkembangkan rantaian perniagaan mereka.

“Kita harap RTC Kelantan boleh dijadikan pusat pemasaran serunding memandangkan produk itu terkenal di sini,” katanya.

RTC Kelantan adalah pusat kegiatan pemborongan, peruncitan, penyimpanan dan pembungkusan produk pertanian yang menempatkan 754 usahawan, selain dikunjungi empat juta pengunjung.

Disiarkan pada: July 15, 2018 @ 6:59pm
d