mutakhir

Sindiket penyeludupan hidupan liar tumpas [METROTV]

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

POLIS berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan hidupan liar yang dilindungi apabila menahan lima lelaki membabitkan rampasan bernilai kira-kira RM1 juta, Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor menyerbu dua rumah masing-masing di Taman Johor Jaya dan Ulu Tiram di Johor Bharu sebelum merampas 37.3 kilogram anggota beberapa hidupan liar seperti harimau, landak dan gajah.

Beliau berkata, dalam serbuan di Taman Johor Jaya pada jam 6 petang, empat lelaki berusia 29 hingga 72 tahun ditahan.

“Dalam serbuan itu, kita merampas empat bungkusan disyaki mengandungi tulang, tengkorak dan bahagian hidupan liar yang semuanya seberat 13.8 kilogram.

“Serbuan kedua di Ulu Tiram pada jam 6.10 petang hari sama pula, kami menahan lelaki berusia 71 tahun bersama 11 bungkusan seberat 23.5 kilogram disyaki mengandungi tulang, tengkorak dan bahagian hidupan liar," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd dan Pengarah PERHILITAN Johor Jamalun Nasir Ibrahim.

Antara bahagian hidupan liar yang dirampas termasuk tengkorak dan tulang dipercayai harimau dianggarkan sebanyak lapan ekor, sepasang gigi harimau, tiga taring harimau, lima batu hempedu landak, 21 hempedu beruang, dua tanduk banteng, satu tanduk kambing gurun dan dua pasang tanduk hidupan liar lain.

Menurut Zulkifli, sindiket berkenaan dipercayai beroperasi sejak 2010 dan hasil siasatan pihaknya percaya Malaysia dijadikan negara transit membawa masuk bahagian hidupan liar dari Indonesia sebelum diseludup ke China.

“Sindiket ini berpangkalan di Johor dan dipercayai mempunyai rangkaian dengan penjenayah hidupan liar negara jiran.

“Mereka membawa masuk secara haram bahagian hidupan liar seperti tulang, tengkorak, kulit, taring dan organ dalaman hidupan liar ke Malaysia sebelum diseludup ke luar negara.

“Kita percaya bahagian hidupan liar ini akan digunakan untuk tujuan perubatan dan perhiasan,” katanya.

Katanya, ini adalah tangkapan kedua terbesar tahun ini selepas kejayaan di Gerik, Perak.

“Sisatan ke atas lima dibuat mengikut Seksyen 68 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana menyimpan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya,” katanya.

Disiarkan pada: July 15, 2018 @ 7:15pm
d