mutakhir

Badan remaja lelaki hampir putus digilis treler

Oleh Norzamira Che Noh

REMAJA lelaki menemui ajal selepas digilis sebuah treler dalam kemalangan di Jalan Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian berlaku jam 3.52 petang ketika mangsa, 17, menunggang motosikal dari arah Bandar Sultan Sulaiman menghala ke Pulau Indah melalui jalan pintas dari Pelabuhan Utara itu.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu treler dari arah sama hilang kawalan dan melanggar dinding pembahagi jalan sebelah kiri.

“Kenderaan itu kemudian menggilis mangsa yang berada di lorong kanan ke pembahagi jalan sebelah kanan.

“Treler itu turut terbalik dan penunggang motosikal maut di tempat kejadian dipercayai kerana cedera parah akibat hampir putus di bahagian badan,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat, dan pemandu treler yang tidak cedera ditahan untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: July 15, 2018 @ 9:47pm
d