mutakhir

Masyhur sampai Romania

Oleh Nur Izzati Mohamad

Tasek Gelugor: Walaupun kedudukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakti di sini, berada di kawasan luar bandar tetapi keupayaan yang dimiliki guru dan pelajarnya bukan calang-calang apabila mereka meraih pingat emas dan beberapa anugerah khas ketika menyertai pertandingan Inovasi EUROINVENT di Lasi, Romania.

Produk inovasi yang dicipta mereka juga nampak ringkas tetapi siapa sangka ia menarik hati juri kerana fungsinya yang banyak memberi manfaat kepada semua.

Ia sekali gus menjadi pemangkin kepada guru dan pelajar sekolah itu untuk menyertai lebih banyak pertandingan yang bukan saja mengharumkan nama sekolah, malah negara di masa depan sekiranya mempunyai masa dan kewangan yang kukuh.

Menceritakan mengenai pengalaman menyertai pertandingan itu pada akhir Mei lalu, guru pengiring, Hasibah Che Ali tidak menyangka memperoleh kemenangan berkenaan melalui produk inovasi mereka yang dikenali sebagai Ecofuel iaitu bahan mempercepatkan proses pembakaran.

“Produk ini dicipta menggunakan bahan buangan ringkas iaitu plastik, mancis, surat khabar dan serbuk kayu, tetapi kreativiti yang ada membuahkan hasil memberangsangkan.

“Syukur persediaan kami selama dua bulan terbayar dengan kemenangan ini walaupun ada pelajar yang terlibat sibuk dengan peperiksaan,” katanya.

Hasibah berkata, empat pelajar menghasilkan produk itu namun hanya seorang saja menjadi wakil untuk diterbangkan ke Romania berikutan kekangan kewangan.

Sementara itu, pelajar yang terpilih menjadi wakil menyertai pertandingan terbabit, Ainnur Awatif Azizi, 15, berkata, dia mengakui gementar apabila membentangkan projek berseorangan tanpa rakan lain.

“Memang agak gugup ketika sesi pembentangan tetapi kerana rakan-rakan lain turut bersusah payah dengan projek ini, saya pendam perasaan itu.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar apabila saya dibantu tiga guru termasuk pengetua,” katanya.

Disiarkan pada: July 16, 2018 @ 10:23am
d