mutakhir

Dua warga emas maut bersama

Oleh Essa Abu Yamin

DUA warga emas maut apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan treler di Kilometer 121 Jalan Johor Bahru-Melaka di Tanjung Laboh, Batu Pahat, hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, kemalangan 6.30 pagi itu itu membabitkan pemandu Perodua Axia, Lim Kew Kim, 72, bersama penumpang, Puah Poh Kim, 69, yang beralamat di Taman Banang Jaya, Batu Pahat.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa yang sedang memandu dari arah Tanjung Laboh ke bandar Batu Pahat melanggar bahagian tengah treler yang keluar dari simpang di kiri jalan di tempat kejadian.

“Akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian manakala pemandu treler berusia 49 tahun tidak cedera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Wahib berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk dibedah siasat dan pemandu lori terbabit ditahan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, difahamkan kedua-dua mangsa bukan pasangan suami isteri dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: July 16, 2018 @ 4:08pm
d