mutakhir

Kuasa tular bantu kereta hilang ditemui semula

Oleh Che Wan Badrul Alias

TINDAKAN pantas wanita memuat naik gambar kereta suaminya yang dilarikan penjenayah di laman sosial membawa hasil apabila kenderaan itu ditemui orang ramai kurang 24 jam di Tebrau, Johor, hari ini.

Wanita berusia 30-an itu memuat naik gambar kereta Proton Wira berwarna putih milik Mohamed Syaiful Mohamed Esah, 37, di laman Facebook (FB) dan WhatsApp pada 7 pagi hari ini, selepas dimaklumkan jiran.

Mohamed Syaiful berkata, dia kehilangan kenderaan itu di hadapan rumahnya di Masjid Tanah, Melaka, pada 6.50 pagi dan isterinya segera menyebarkan perkara itu di laman sosialnya untuk meminta kerjasama orang ramai.

“Apabila dimaklumkan jiran, saya menjadi panik tetapi isteri membuat keputusan untuk meminta bantuan rakan dan orang ramai untuk mencari kenderaan itu.

“Alhamdulillah, tindakan pantas isteri memuat naik gambar kereta dan maklumat ke kumpulan WhatsApp dan FB berhasil apabila ada yang memberikan maklumat kedudukan kereta selepas 30 minit ia menjadi tular,” katanya.

Mohamed Syaiful berkata, orang ramai menghubunginya dan berkongsi gambar kereta itu sedang mengisi minyak di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Pagoh, Johor tetapi dengan nombor plat kereta yang sudah bertukar.

“Sejurus mendapat maklumat itu, saya segera bertolak ke Johor dan menghubungi keluarga terdekat bagi membantu mengesan kedudukan terkini kereta, mengikut maklumat orang ramai.

“Selepas beberapa jam kami menjejak kereta itu, akhirnya ia ditemui di sebuah apartmen di Taman Austin Heights, Tebrau, Johor Bahru, pada 3.40 petang.

“Seorang ahli keluarga sudah menunggu di situ. €œTerima kasih kepada kuasa tular dan saya terharu dengan bantuan rakyat Malaysia termasuk daripada sekumpulan individu permotoran yang berkongsi maklumat dengan pantas sehingga berjaya menemui kembali kereta saya,” katanya.

Setakat ini, katanya, kereta itu berada di Balai Polis Setia Indah untuk siasatan lanjut pihak berkuasa.

Disiarkan pada: July 16, 2018 @ 9:07pm
d