mutakhir

Semangat kental pelihara anak syurga

Oleh Mary Victoria Dass

“KEBANYAKAN anak kami dikatakan tiada harapan untuk hidup lama hingga rawatan di sesetengah hospital tidak sepenuhnya, namun sebagai ibu, kami tidak pernah berputus asa,” kata Pengasas Kelab Anak Syurga Kau Yang Teristimewa (KYT), Partivi Masiran, 47.

Partivi berkata, pihaknya yakin berkat doa, kasih sayang serta penjagaan ahli keluarga, anak kebanyakan ahli KYT kini mencecah usia belasan tahun hingga 20 tahun.

Menurutnya, sebagai ibu kepada anak syurga, dia turut berdepan dengan keadaan sama kerana anaknya dikenal pasti memiliki tujuh jenis penyakit.

“Alhamdullilah Muhammad Aqiel Asyraaf Zamri yang dikatakan tidak panjang umur, kini sudah mencecah usia tujuh tahun.

“Allah SWT menentukan kelahiran dan ajal dan kita kita sebagai ibu perlu tabah dan terus kuat,” katanya di Rumah Terbuka Aidilfitri KYT di Felda Taib Andak, Kulai, hari ini.

Partivi berkata, ketika anaknya berusia dua tahun, dia disahkan sebagai orang kurang upaya (OKU) terlantar.

Beliau berkata, hasil mempelajari teknik urutan fisioterapi daripada pakar berkaitan dan bidan, dia melakukan sendiri di rumah untuk merawat anaknya.

Menurutnya, dia percaya kesembuhan itu milik tuhan dan hanya melakukan yang terbaik.

“Pada usia empat tahun, Aqiel mula menunjukkan perubahan positif termasuk boleh duduk.

“Pada usia lima tahun dia boleh merangkak dan berjalan walaupun kadang-kala masih menghadapi masalah untuk mengimbangi tubuhnya.

“Setiap hari saya akan mengurutnya terutama di bahagian belakang lutut, tapak kaki dan betis dengan harapan dia mampu berjalan secara normal.

“Aqiel kini adalah murid di Pusat Dalam Komuniti (PDK) Ulu Tiram dan saya berharap dia dapat berdikari pada masa depan,” katanya.

Berkongsi berkaitan kelab berkenaan, Partivi berkata, ia ditubuhkan pada empat tahun lalu bagi berkongsi tips penjagaan anak syurga.

Menurutnya, kelab berkenaan diwujudkan bagi memberi sokongan daripada segi moral dan berkongsi kisah serta pengalaman.

Katanya, pihaknya menyediakan tabung kebajikan bagi anak syurga yang dimasukkan ke wad dan melakukan pelbagai aktiviti amal.

“Anak kami adalah anak istimewa terdiri daripada sindrom down, pesakit kronik, selebral palsi dan pelbagai.

“Kami adalah ibu yang mahu menjalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin walaupun cahaya mata kami adalah anak syurga.

“Kebanyakan kami memainkan peranan umpama jururawat apabila perlu memberi jagaan kepada anak sepanjang masa termasuk mengurus mereka.

“Namun ia tidak menghalang kami menjalankan tanggungjawab sebagai ibu kepada anak lain, isteri, suri rumah dan menjalankan perniagaan dari rumah,” katanya.

Partivi berkata, kini kelab berkenaan yang aktif menerusi aplikasi WhatsApp memiliki lebih 45 ahli dari seluruh Johor.

Menurutnya, pihaknya yakin keahlian kelab berkenaan akan terus meningkat.

“Kehidupan kami bukan mudah, namun hasil berkat doa dan sikap tabah, kami meneruskan kehidupan demi Allah.

“Kami memerlukan perhatian terutama bagi keluarga yang kurang bernasib baik sewajarnya menerima bantuan daripada pihak berkaitan,” katanya.

Disiarkan pada: July 16, 2018 @ 10:05pm
d