mutakhir

6 dalang pertaruhan Piala Dunia dicekup [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Enam individu termasuk seorang wanita ditahan selepas disyaki terbabit aktiviti perjudian bola sepak sempena perlawanan Piala Dunia 2018 membabitkan jumlah pertaruhan antara RM1,500 hingga RM5,000.

Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata, semua individu berusia 18 hingga 36 tahun dan wanita berusia 35 tahun itu ditahan dalam enam serbuan berasingan di sekitar daerah ini sempena Op Soga 7 bermula 14 Jun lalu.

Menurutnya, pihaknya turut merampas enam telefon bimbit dan wang disyaki pertaruhan RM3,275 daripada individu yang disyaki ejen.

“Hasil risikan juga mendapati kegiatan itu dijalankan secara individu di premis perniagaan termasuk pusat hiburan dan tidak membabitkan sindiket besar di sekitar daerah ini.

“Nilai pertaruhan ditetapkan bergantung kepada pasukan yang bertanding.

“Siasatan mendapati pertaruhan yang dibuat bernilai antara RM1,500 hingga RM5,000 yang mana aktiviti pertaruhan dijalankan secara dalam talian menyebabkan kegiatan itu sukar dikesan,” katanya di majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu (IPK) Terengganu, semalam.

Seramai 292 penerima termasuk 81 dari IPK Terengganu menerima sijil penghargaan masing-masing yang disampaikan Aidi kepada Ketua Jabatan dan Ketua Polis Daerah yang mewakili penerima.

Disiarkan pada: July 17, 2018 @ 10:24am
d