mutakhir

'Islam bina akhlak, bukan hasilkan ekstremis'

Oleh Azman Abdul Hamid

Palembang: Pendidikan sekolah pondok atau pesantren berfungsi untuk membina akhlak dan bukan menghasilkan golongan ekstremis.

Ketika menegaskan perkara itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo, menolak tanggapan serong pihak tertentu terhadap pelajar sekolah pondok atau sekolah agama.

“Sekolah pondok dan pesantren adalah tempat untuk membina akhlak, Islam di Indonesia bersifat toleran, moden, yang suka dengan perdamaian.

“Dari sekolah pondok muncul masyarakat, manusia yang memiliki akhlak yang baik bukan sebaliknya. Kalau ada terorisme atau radikalisme ini adalah dalam jumlah sedikit, justeru dari sekolah pondok boleh mencegah mereka supaya tidak radikal,” katanya selepas menyerahkan 196 sijil tanah wakaf kepada masyarakat Sumatera Selatan membabitkan pengendali masjid, surau, tempat pendidikan madrasah dan pondok pesantren.

Dalam majlis penyerahan itu, beliau menyuarakan harapan untuk menyerahkan lebih banyak sijil bertujuan menyelesaikan isu status masjid, surau dan madrasah di tempat lain juga.

Ketika apakah yang boleh dilakukan jika ada institusi agama termasuk sekolah pondok mungkin dijadikan sasaran kumpulan ekstremis untuk menyebarkan ideologi radikal dan merekrut anggota militan, beliau berkata:

“Indonesia ada pendekatan lunak dan pendekatan keras. Dua cara inilah yg kita lakukan. Kita juga bekerjasama dengan organisasi besar seperti Nadhlatul Ulama dan Muhamadiyah serta organisasi islam lain untuk menyekat radikalisme dan terorisme.”

Beliau juga membidas pihak yang suka mentafsir agama Islam negatif semata-mata kerana ia membabitkan orang bukan Islam seperti penentangan terhadap calon bukan Islam, Basuki Tjajaha Purnama (Ahok) dalam pilihan raya gabenor Jakarta.

“Indonesia ada 514 daerah, 34 wilayah yang semuanya mengadakan pilihan raya tempatan. Tahun ini, ada 171 pemilihan termasuk gabenor, tidak ada masalah, aman sahaja,” katanya.

Beliau berpendapat, adalah sesuatu yang biasa bagi sesuatu itu dipolitikkan secara negatif tetapi pemimpin Indonesia itu sekali lagi menekankan bahawa di negaranya, agama Islam bersifat toleran, moden dan damai.

Disiarkan pada: July 17, 2018 @ 10:29am
d