mutakhir

Anak Musa Aman ikut ke London?

Oleh Avila Geraldina

AHLI Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa yang tidak hadir dalam upacara mengangkat sumpah di Dewan Rakyat semalam, dipercayai kini berada di luar negara.

Persoalan mengenai kedudukan anak bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman itu mula timbul selepas Yamani yang juga Ketua Pemuda UMNO Sabah tidak hadir untuk mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen, semalam.

Walaupun tidak menyatakan lokasi tepat di mana Yamani berada, beberapa pemimpin Pemuda UMNO negeri percaya beliau kini berada di London.

Setiausaha Pemuda UMNO Sabah, Bahrin Abdul Karim ketika dihubungi berkata, kali terakhir beliau berjumpa dengan Yamani Hafez adalah di kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah di Sri Gaya selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) iaitu sebelum Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri.

“Selepas itu, kami terputus hubungan. Beliau tidak menghubungi sesiapa pun antara kami. Saya percaya beliau berada di London menemani bapanya,” katanya.

Bahrin yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu berkata, Yamani masih memimpin Pemuda UMNO negeri itu sementara menunggu pelantikan baharu oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Sementara itu, Mazlan @ Joehari Manan yang menggantikan Yamani sebagai Ketua Pemuda UMNO Sipitang mendakwa turut terputus hubungan dengan Ahli Parlimen Sipitang itu dan kali terakhir berhubung ketika pemilihan UMNO untuk meminta kebenarannya menggantikan jawatan itu sebelum dipersetujui Yamani.

“Saya tak pasti di mana sebenarnya beliau berada, tetapi saya dengar di luar negara,” katanya sambil menambah sayap itu kini menumpukan usaha untuk memperkukuh pergerakan itu.

Selepas PRU-14, Musa dilaporkan ke Kuala Lumpur pada 14 Mei, dua hari selepas Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Musa kemudian dilihat berada di London sebelum mengeluarkan kenyataan menerusi peguamnya yang mendakwa kini mendapatkan rawatan di negara itu.

Disiarkan pada: July 17, 2018 @ 1:08pm
d