mutakhir

'Hormati keluarga Nik Muhammad Addin'

Oleh Faliq Lajim

ORANG ramai supaya menghormati keluarga pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dengkil, Nik Muhammad Addin Azmi, 18, yang maut selepas terjatuh dari tingkat empat bangunan asramanya, Ahad lalu.

Ia susulan terdapat pihak yang menyebarkan gambar serta maklumat tidak sahih berhubung kejadian itu melalui media sosial.

Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab ini akan hanya mengeruhkan lagi keadaan.

“Siasatan lanjut berkenaan kes ini masih dijalankan oleh polis.

“Pihak universiti berasa amat sedih dengan kejadian ini dan berharap agar keluarga mangsa akan diberi kesabaran dan reda menerima ketentuan Ilahi ini.

“Saya berdoa semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Hassan berkata wakil pengurusan UiTM sudah menghubungi dan melawat keluarga mangsa bagi menyampaikan ucapan takziah, semalam.

“Kami juga menyerahkan sumbangan sebanyak RM10,000 dengan pemberian awal sebanyak RM3,000 bagi membantu dalam urusan pengebumian.

“Baki RM7,000 lagi akan diserahkan kepada keluarga mangsa dalam masa terdekat ini," katanya.

NSTP sebelum ini melaporkan, dalam kejadian pada jam 11 malam Ahad lalu, Nik Muhammad Addin ditemui terjatuh dari tingkat empat bangunan asrama selepas dikatakan berbual menerusi telefon bimbit sambil duduk di atas palang besi balkoni, menghadap ke luar bangunan berkenaan.

Difahamkan, dia kemudian tergelincir daripada besi itu sebelum terjatuh dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Polis memaklumkan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Berita berkaitan

[UPDATE] Bukan jatuh dari 'hammock'...

'Addin nak belanja kawan satu blok'

Penuntut UiTM maut terjatuh tingkat empat

Disiarkan pada: July 17, 2018 @ 7:34pm
d