mutakhir

Akaun dua anak Najib sudah tak dibekukan

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan akaun bank bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak lagi dibekukan, sejak semalam.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, ia selepas pihaknya mendapati akaun terbabit tidak mempunyai kaitan dengan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata, ia juga tidak mempunyai kaitan dengan siasatan terhadap anak syarikat 1MDB iaitu SRC International Sdn Bhd (SRC).

“Betul, sejak semalam lagi, akaun peribadi milik Najib sudah tidak lagi dibekukan pihak berkuasa kerana siasatan mendapati, ia tidak mempunyai kaitan dengan 1MDB atau SRC," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ditanya sama ada penarikan pembekuan itu turut membabitkan akaun lain, Azam berkata, ia turut membabitkan akaun bank atas nama Nooryana dan Norashman yang juga anak kepada bekas perdana menteri itu.

"Akaun atas nama Nooryana dan Norashman juga sudah tidak dibekukan. Kedua-duanya anak kepada Najib," katanya.

Sementara itu, sumber SPRM turut mengesahkan menarik balik pembekuan beberapa akaun milik individu lain.

"Selain akaun Najib serta anaknya, ada beberapa lagi akaun bank yang sebelum ini disiasat SPRM, tidak lagi dibekukan. Tetapi, maklumat mengenai pemiliknya tiada" katanya.

Pada 2 Julai lalu, SPRM mengeluarkan satu kenyataan memaklumkan bahawa sebanyak 408 akaun bank membabitkan dana RM1.1 bilion dibekukan SPRM.

Pembekuan akaun bank itu turut membabitkan 81 individu serta 55 syarikat dan dilakukan pada 26 dan 29 Jun lalu.

Kesemua akaun dibekukan itu dipercayai ada kaitan dengan penyelewengan dan salah guna dana 1MDB membabitkan kira-kira 900 transaksi yang dibuat antara Mac 2011 hingga September 2015.

Berita berkaitan

Akaun Najib tidak lagi dibekukan

Disiarkan pada: July 17, 2018 @ 7:52pm
d