mutakhir

Lagi kes gajah ditemui mati di Sabah

Oleh Suzianah Jiffar

SATU lagi kes gajah ditemui mati di kawasan ladang di pantai timur Sabah.

Kali ini seekor gajah jantan ditemui mati oleh pekerja ladang di kawasan ladang kelapa sawit Low Woo Thien di Ulu Segama, Lahad Datu, petang semalam.

Jurucakap Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Siti Nur'Ain Ampuan Acheh berkata, Pejabat Hidupan Liar Lahad Datu dimaklumkan mengenai penemuan bangkai gajah itu oleh pekerja ladang sawit, pada jam 5.10 petang.

Susulan laporan itu, katanya, sepasukan renjer dihantar ke lokasi pada hari sama untuk memeriksa dan seterusnya mengumpulkan maklumat mengenai kematian gajah berkenaan.

“€œDalam pemeriksaan itu, pasukan mendapati tiada unsur jenayah pada bangkai gajah tetapi mendapati kaki haiwan itu cedera disebabkan oleh jerat.

“€œBerdasarkan bedah siasat oleh pegawai veterinar, gajah itu berusia antara empat ke lima tahun.

“Punca kematian akibat septicemia (keracunan darah), disebabkan kecederaan teruk pada kaki dan pada masa sama ada jangkitan parasit," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Minggu lalu, seekor gajah Pygmy Borneo yang cedera akibat terkena jerat dilaporkan mati di Santuari Gajah Borneo (BES), Kinabatangan beberapa hari selepas diselamatkan dari Sapagaya, Lahad Datu.

Turut dilaporkan mati adalah seekor orang utan yang bangkainya ditemui berhampiran Hutan Simpan Kabili-Sepilok, di Sandakan.

Jumaat lalu, seekor monyet Proboscis atau turut dipanggil monyet Belanda ditemui mati di santuari hidupan liar Kinabatangan berhampiran Pusat Penyelidikan Danau Girang.

Disiarkan pada: July 17, 2018 @ 9:08pm
d