mutakhir

Kenapa kami kena sekat? [METROTV]

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

Kuala Lumpur: Pemantau Malaysia Baru beranggapan tindakan polis menghalang mereka berarak ke Parlimen bagi menyatakan sokongan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V sebagai menyekat kebebasan bersuara seperti dilaungkan kerajaan Pakatan Harapan.

Presidennya, Datuk Lokman Noor Adam berkata, pihaknya percaya tindakan polis menyekat mereka adalah atas arahan daripada kerajaan berikutan kegagalan pihak berkuasa itu memaklumkan sekatan dilakukan mengikut akta apa.

“Pada hari ini (semalam), tujuan kita berhimpun adalah berarak secara aman ke persimpangan Parlimen bagi menyatakan sokongan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V serta institusi diraja yang kini dikeji serta dihina sesetengah pihak tanpa pembelaan.

“Namun, kita kecewa apabila tujuan baik ini dihalang polis yang gagal menyatakan sebab atau atas akta apa kami dihalang biarpun perhimpunan memenuhi Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya ketika berhimpun di kawasan meletak kereta 50 meter dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini.

Lokman berkata, pihaknya percaya punca mereka dihalang itu atas arahan kerajaan sekarang.

“Kita sudah berbincang dengan polis dan berjanji perarakan ini diadakan secara aman dan sudah memaklumkan ia memenuhi tuntutan akta perhimpunan aman, tapi tetap tidak mendapat kebenaran.

“Ini jelas satu bentuk pencabulan hak kebebasan bersuara yang sebelum ini lantang disebut Pakatan Harapan sebelum memenangi pilihan raya,” katanya.

Menurut Lokman, pihaknya boleh merempuh sekatan dilakukan polis, namun mengambil jalan terbaik untuk akur dengan keputusan polis tidak membenarkan mereka berarak.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya mengenal pasti penganjur dan akan memanggil mereka dalam masa terdekat.

Disiarkan pada: July 18, 2018 @ 10:25am
d