mutakhir

Geram dengan pencuri durian

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

“SAYA rasa seperti hendak lastik saja mereka kerana menceroboh kebun dan mencuri durian saya," kata Mustafa Awang, 68, yang kerugian ratusan ringgit selepas kebun duriannya menjadi sasaran pencuri di FELDA Jengka 7, Maran, malam tadi.

Berikutan itu, dia bersama isterinya, Fatimah Awang, 64, mula mengambil keputusan untuk bermalam di pondok dalam kebun durian yang dibina sejak lebih lima tahun lalu.

Menurutnya, suspek akan datang menceroboh kebun duriannya antara 12 tengah malam hingga 6 pagi.

"Malam tadi saya bersama isteri tidur di pondok dan menyedari mereka datang pada 3 pagi selepas terdengar bunyi deruman ekzos motosikal.

"Kami hanya mengintai di celah kayu dan melihat dua lelaki menaiki motosikal, berhenti di tepi dusun.

“Dua lelaki terbabit menggunakan lampu motosikal untuk menyuluh durian yang gugur sebelum kami menyergah menyebabkan mereka melarikan diri,” katanya ketika ditemui di dusunnya di FELDA berkenaan.

Mustafa berkata, pencuri terbabit sanggup merosakkan pagar berduri yang dipasang Mustafa, semata-mata mahu menceroboh masuk ke kebun durian terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Norzamri Abd Rahman berkata, sehingga kini tiada laporan dibuat oleh pemilik kebun durian berhubung kes kecurian durian.

Disiarkan pada: July 18, 2018 @ 12:30pm
d