mutakhir

Bantulah Sufi Sumayyah jalani pembedahan

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

“MELIHAT kesukaran hidup keluarga, Sufi pernah menolak untuk dibedah, namun bila memikirkan keadaan akan menjadi lebih serius menyebabkan dia mahu menjalankan pembedahan demi masa depannya,” kata Rohani Muhammad Hayat.

Rohani, 36, adalah ibu kepada Sufi Sumayyah Azmi, 13, yang berdepan masalah pertumbuhan tulang punggung tidak sempurna selain kaki pendek sebelah hingga membataskan pergerakannya sejak lahir.

Sufi Sumayyah akan menjalani pembedahan memasukkan besi di kaki kirinya sehingga ke punggung di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada awal Disember ini.

Rohani yang juga ibu tunggal berkata, dia buntu memikirkan kos perubatan yang dijangka mencecah ribuan ringgit kerana hanya menjual lemang secara kecil-kecilan dengan pendapatan tidak menentu.

“Kos besi bernilai RM6,270 belum termasuk kos pembedahan, malah perbelanjaan di sana nanti juga membimbangkan kerana Sufi dijangka akan tinggal di hospital selama enam bulan selain memerlukan kerusi roda.

"Dengan pendapatan menjual lemang tidak menentu memang membuatkan saya bimbang, namun saya akan berusaha sehabis daya demi kesihatan dan masa depan dia kerana jika tidak dibedah bimbang tulang itu berubah kedudukan ke arah kemaluannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Kubang Chandong, Bota Kanan, Bota, hari ini.

Turut hadir, aktivis sosial Rohaidatul Asma Jusoh yang melawat dan prihatin dengan masalah keluarga ibu tunggal itu.

Ibu tunggal empat anak berusia tujuh hingga 14 tahun itu berkata, dia menjaga ibunya Saayah Yunus, 64, selain tiga anak termasuk Sufi Sumayyah, manakala anak lelaki sulungnya tinggal bersama bekas suami dan turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM300 sebulan.

“Memang jika diikuti saya tak mampu berulang-alik ke PPUM, namun demi rawatan Sufi terpaksa menguatkan semangat dan bersyukur rakan serta keluarga membantu kerana memerlukan sekurang-kurangnya RM300 setiap kali ke sana.

“Hujung tulang kaki Sufi juga bermasalah kerana menampung berat badannya. Sepatutnya dia perlu dibedah ketika berusia sembilan tahun, namun kerana kekangan kewangan dan baru berpisah dengan bekas suami menyebabkan ia tidak dapat dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Sufi Sumayyah berkata, dia berharap dapat menjalani pembedahan supaya boleh berjalan dengan sempurna dan menyertai pelbagai aktiviti di sekolah akan datang.

“Saya pernah menyertai kawad kaki sebelum ini, namun tidak boleh terlalu lama kerana kaki cepat sakit, dan bila jalan pun kaki saya sakit,” katanya.

Mereka yang ingin membantu boleh

Orang ramai yang ingin membantu Sufi Sumayyah boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 158118351055 atas nama Rohani Muhammad Hayat.

Disiarkan pada: July 18, 2018 @ 6:02pm
d