mutakhir

Kes bot karam: 3 individu bela diri bulan depan

Oleh Olivia Miwil

MAHKAMAH Sesyen Kota Kinabalu, hari ini, menetapkan 27 hingga 30 Ogos ini untuk prosiding bela diri tiga individu yang berdepan pertuduhan berhubung kejadian bot katamaran karam di perairan Pulau Mengalum.

Pada 28 Januari 2017, seramai 28 pelancong China dan tiga kru bot berlepas dari Tanjung Aru, dekat sini, sebelum ia karam ketika dalam perjalanan ke Pulau Mengalum, menyebabkan empat pelancong maut, 22 terselamat termasuk dua kru bot, manakala lima hilang.

Tiga tertuduh ialah pengarah syarikat pelancongan, Chung Ket Siew @ Chung Siaw Ping, 64; pengurus syarikat, Leong Vin Jee, 44, dan tekong bot, Sharezza Salian, 25, didakwa secara berasingan mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan kepada 20 penumpang, semua dari China.

Ketiga-tiga mereka turut didakwa mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana dengan cuai menyebabkan kematian empat pelancong China.

Sharezza dan Leong turut berdepan dua tuduhan bersama kerana gagal memastikan kelengkapan keselamatan penumpang bot pada setiap masa dan mengambil penumpang di jeti Kampung Tanjung Aru Lama, yang mana bukan tempat pendaratan ditetapkan.

Vin Jee dan ibunya, Ket Siew, juga menghadapi pertuduhan mengikut Peraturan 9 Pelabuhan dan Pelabuhan (Kapal Kecil Berlesan Sabah) 2008 kerana gagal menyimpan lesen di atas kapal berkenaan.

Ket Siew juga didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 13 kerana gagal melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai kedudukan Sharezza sebagai tekong.

Hakim Noor Hafizah Mohd Salim berhujah, mahkamah telah membuktikan prima facie bagi semua kes terhadap ketiga-tiga mereka kecuali Seksyen 337 dan Seksyen 304A Kanun Keseksaan terhadap Ket Siew.

Ket Siew dan Vin Jee diwakili peguam Edward Paul serta Elffie Johnny manakala Sharezza diwakili peguam Michelle Usman.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nartiah F Mirchelle Sambatan.

Disiarkan pada: July 18, 2018 @ 7:25pm
d