mutakhir

Anak Musa Aman berdepan hilang kelayakan

Oleh BERNAMA

MEREKA yang terpilih sebagai Ahli Parlimen tetapi tidak menghadiri majlis angkat sumpah Isnin lalu berdepan kemungkinan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

"Ahli Parlimen yang tidak mengangkat sumpah pada hari Isnin boleh dibatalkan kelayakan dalam tempoh enam bulan mulai 16 Julai jika terus gagal berbuat demikian seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 59 Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu bagi memperjelaskan tentang Ahli Parlimen Sipitang Yamani Hafez Musa yang gagal hadir di Dewan Rakyat pada hari Isnin.

Bagaimanapun, bagi Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, Liew berkata, beliau sudah menerima notis yang menyatakan Muhyiddin kini dalam cuti sakit selama sebulan dan Dewan akan mengaturkan majlis lain selepas ini untuk beliau mengangkat sumpah.

"Bagi YB Sipitang, kami tidak menerima apa-apa pemberitahuan melalui surat tentang sebab beliau tidak dapat hadir pada hari Isnin untuk mengangkat sumpah," katanya.

Isnin lalu, 220 daripada 222 Anggota Parlimen mengangkat sumpah jawatan mereka di Dewan Rakyat pada hari pertama Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14.

Dua anggota Parlimen yang tidak hadir adalah Muhyiddin dan Yamani Hafez.

Disiarkan pada: July 18, 2018 @ 8:32pm
d