mutakhir

Nekad terjun bendang...

Oleh Nordiana Shafiee

SEGELINTIR warga asing yang bekerja di tapak pembinaan nekad terjun ke dalam bendang bagi melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa di Ayer Hitam, Jerlun, hari ini.

Bagaimanapun, tindakan mereka sia-sia selepas ditangkap anggota imigresen di tempat kejadian.

Pengarah Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, dalam operasi bermula jam 10 pagi itu, 19 anggotanya bersama agensi penguatkuasaan lain membuat pemeriksaan ke atas 91 warga asing dan 15 warga tempatan di tapak pembinaan berkenaan.

Bagaimanapun, ada antara mereka bertempiaran lari ke kawasan bendang berhampiran sebelum diberkas.

Katanya, hasil pemeriksaan mengesan 35 warga asing terdiri sembilan lelaki dan dua wanita warga Indonesia, 15 lelaki warga Bangladesh, lima lelaki warga Myanmar dan empat lelaki warga Pakistan melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Mereka yang berusia antara 20 dan 47 tahun ini dipercayai melakukan kesalahan tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan sah dan melanggar syarat pas diberikan.

“Turut ditahan seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia berusia tiga tahun, selain ada antara mereka yang bersembunyi di kilang yang sudah tidak beroperasi lagi tetapi berjaya ditahan selepas pemeriksaan menyeluruh dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zuhair berkata, semua pendatang asing terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Warga asing itu diserahkan ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: July 18, 2018 @ 8:49pm
d