mutakhir

Bermandi hujan dalam rumah

Oleh HM Digital

Alor Setar: “Saya dan tiga anak terpaksa bermandikan hujan walaupun berada di dalam rumah selepas sebahagian bumbung rumah ini diterbangkan angin menyebabkan hujan lebat masuk mencurah-curah,” kata Fuziah Ahmad, 56, salah seorang mangsa ribut.

Dalam kejadian itu, rumah dua tingkat separa kayu dan batu yang diduduki di Jalan Gunung Keriang itu musnah di bahagian atas manakala sebahagian bumbung diterbangkan angin kencang termasuk mesin jahit yang menjadi sumber pendapatan keluarga itu.

Bagaimanapun Fuziah dan tiga anaknya, Nurazmina Mat Radzi, 23, Nursyuhada, 20 dan Nur Aqmarina, 17, tidak mengalami sebarang kecederaan, namun basah kuyup ketika kejadian berlaku.

Menurutnya, ketika kejadian, suaminya, Mat Radzi Bahari, 51, tiada di rumah kerana keluar bekerja dan pada waktu itu cuaca dalam keadaan baik sebelum tiba-tiba berlaku angin kuat.

Katanya, pada waktu itu mereka menonton televisyen di ruang tamu sebelum terdengar bunyi hujan lebat di luar rumah.

“Anak saya cuba menutup pintu depan tetapi angin terlalu kuat namun tak sampai beberapa minit keadaan mendung bertukar cerah, rupanya bumbung sudah hilang.

“Anak berlari mendapatkan saya kerana takut, tetapi kami tak dapat berbuat apa-apa melainkan hanya berlindung dalam rumah,” katanya.

Disiarkan pada: July 19, 2018 @ 10:09am
d