mutakhir

Sempat keluar rumah berapi

Oleh HM Digital

Sungai Buloh: Seorang pemilik kediaman sempat melarikan diri sejurus rumah teres dua tingkat didiami di Taman Matang Jaya di sini, terbakar.

Dalam kejadian jam 10 malam kelmarin, penghuni rumah, Kali Mathavam, 26, tidak mengalami kecederaan walaupun kediamannya musnah 50 peratus.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohd Rizal Buang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.35 malam.

“Seramai 10 pegawai dan anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami mendapati api sedang marak di tingkat atas rumah berkenaan.

“Kami mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memadamkan kebakaran itu,” katanya.

Mohd Rizal berkata, kebakaran itu menyebabkan rumah berkenaan musnah 50 peratus membabitkan tingkat atas kediaman berkenaan.

“Tiada mangsa dilaporkan dalam kebakaran ini. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: July 19, 2018 @ 10:23am
d