mutakhir

10 tahun menanti masjid

Oleh Norzamira Che Noh

Klang: Kariah Surau an-Nur di Bandar Puteri di sini mengimpikan sebuah masjid bagi menampung jemaah yang semakin meningkat setiap tahun.

Ia berikutan kawasan berkenaan masih belum mempunyai masjid dan hanya bergantung kepada surau yang dibina sejak 2006 termasuk untuk solat Jumaat.

Pengerusi surau, Nurul Amali Mohd Shamsudin berkata, masjid terdekat dengan kawasan itu adalah di Taman Sentosa iaitu Masjid al-Baraqah.

“Walaupun begitu, masjid yang dinaik taraf daripada surau ini kecil dan sesak sehingga menyebabkan jemaah lebih memilih Surau an-Nur.

“Pada awalnya, penduduk beragama Islam di Bandar Puteri menggunakan sebuah rumah kosong untuk dijadikan surau sementara sebelum membeli dua kontena pada 2006.

“Selepas itu beberapa siri pembesaran dilakukan dari semasa ke semasa untuk menampung jemaah yang semakin meningkat dan surau kini boleh memuatkan kira-kira 1,400 jemaah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, ketika solat Jumaat surau berkenaan turut menampung pekerja kilang dari Bandar Botanik dan Bandar Putera berikutan lokasinya berdekatan dengan Lebuh raya KESAS.

Katanya, permintaan bagi membina sebuah masjid dibuat sejak 2008, malah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) juga memberi kebenaran untuk pembinaannya.

Bagaimanapun, berikutan dana tidak mencukupi, pembinaan masjid baru itu terpaksa ditunda.

“Kami difahamkan pembinaan masjid di Bandar Puteri memang ada dalam senarai projek kerajaan negeri tetapi tidak pasti bila pembinaannya akan berlaku.

“Justeru, besar harapan kami supaya pembinaan masjid dapat dilakukan secepat mungkin selepas 10 tahun menunggu,” katanya.

Nurul Amali berkata, pembinaan masjid baharu itu dijangka dapat menampung kira-kira 2,500 ke 3,000 jemaah selain bakal dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

“Surau kami sangat aktif dengan pelbagai aktiviti seperti ceramah agama, kelas mualaf, tuisyen, lokasi untuk kenduri dan banyak lagi,” katanya.

Bandar Puteri adalah antara kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis selepas persempadanan semua pada awal tahun ini sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Kerusi DUN Sungai Kandis kini kosong selepas wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Disiarkan pada: July 19, 2018 @ 10:52am
d