mutakhir

Majoriti barangan dikecualikan SST [METROTV]

Oleh Asmah Rusman

MAJORITI barangan akan dikecualikan cukai menerusi pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), September ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk T Subromaniam berkata, pelaksanaan SST akan mengecilkan jumlah barangan yang dikenakan cukai berbanding pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

"Pelaksanaan SST adalah jauh lebih mudah daripada GST dan jika sebelum ini kita berjaya melaksanakan GST maka tidak ada sebab untuk kita melaksanakan SST.

"Majoriti barangan dikenakan cukai pada kadar sifar peratus manakala sebahagiannya dikenakan lima dan 10 peratus," katanya.

Beliau berkata, senarai barangan yang dikecualikan cukai akan dimuatnaik dalam portal GST yang akan ditukarkan kepada portal SST nanti.

Katanya, sistem pemfailan dan pembayaran akan dilakukan secara elektronik dan tidak sama seperti GST.

"Kami mempunyai sistem SST yang baru yang mana lebih memudahkan peniaga dan tidak menggunakan manual seperti sistem SST sebelum ini," katanya.

Ketika ditanya mengenai kenaikan harga barang, beliau mengulas terdapat banyak faktor lain yang menyumbang kepada kenaikan harga barang.

"Cukai antara salah satu faktor tetapi ada faktor lain di luar kawalan seperti permintaan dan penawaran barangan serta kenaikan harga minyak.

"Jangan menyalahkan cukai semata-mata yang kononnya menyumbang kepada kenaikan harga barang," katanya.

Beliau turut melancarkan program ‘hand holding’ kepada industri hari ini yang bakal dilaksanakan ke seluruh negara bermula 24 Julai.

Katanya, sesi kedua penerangan berkenaan SST juga akan diadakan sekali lagi sejurus akta dan perundangan diluluskan Parlimen yang dijangka bulan depan.

Disiarkan pada: July 19, 2018 @ 11:27am
d