mutakhir

Tiada maklumat rasmi Jho Low ditahan - KPN

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan menyemak laporan kononnya ahli perniagaan yang menjadi buruan, Jho Taek Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low sudah ditahan di China.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, buat masa ini, PDRM tidak menerima sebarang maklumat mengenai perkara itu.

"Saya masih belum dimaklumkan mengenai perkara itu (penahanan Jho Low). Biar kita semak dahulu untuk pastikan perkara itu," katanya dalam sidang media ketika Majlis Penyerahan Kenderaan EMPV di Persada Plus Subang, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman; Senior Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor; Pengerusi Plus Malaysia Berhad, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim dan Pengarah Urusan Plus Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail.

Mohamad Fuzi berkata, lokasi sebenar Jho Low masih belum dapat dipastikan, namun berdasarkan risikan pihaknya, Jho Low hanya berlegar di Hong Kong, China, Macau dan Taiwan.

Katanya, sekiranya lokasi terbaru Jho Low sudah dikenal pasti, PDRM akan mendapatkan bantuan negara berkenaan untuk menahan ahli perniagaan itu.

"Kita akan dapatkan bantuan negara itu untuk bantuan. Sehingga kini, usaha menjejak Jho Low dijalankan secara berterusan," katanya.

Sementara itu, Mohamad Fuzi turut menafikan dakwaan bahawa PDRM tidak menghantar notis merah kepada Polis Antarabangsa (Interpol) dalam usaha menjejak Jho Low.

"Perkara itu tidak tepat sama sekali, dakwaan tiada permohonan itu tidak benar... kita sudah buat permohonan pada 11 Jun lalu," katanya.

Pada 11 Julai lalu, Mohamad Fuzi mengesahkan bahawa Jho Low, ahli perniagaan yang menjadi buruan berikutan pembabitan dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sudah meninggalkan Macau tanpa diketahui lokasi terbarunya.

Disiarkan pada: July 19, 2018 @ 12:14pm
d