mutakhir

Mahathir sambut baik berita Jho Low ditahan

Oleh BERNAMA

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak tahu tetapi menyambut baik berita bahawa ahli perniagaan Low Taek Jhow atau lebih dikenali sebagai Jho Low ditahan.

"Saya tidak tahu, terima kasih kerana berkongsi maklumat ini dengan saya. Saya harap beliau (akan) dibawa balik ke Malaysia," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen ketika diminta mengulas tentang berita itu.

Sebuah akhbar tempatan telah melaporkan, memetik laporan media Hong Kong bahawa Jho Low telah ditahan di China.

Ditanya sama ada Malaysia mempunyai perjanjian ekstradisi dengan China, Dr Mahathir berkata, Beijing masih boleh menyerahkan Jho Low kepada pihak berkuasa Malaysia.

Minggu lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, Jho Low, yang dikehendaki bagi membantu dalam siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dipercayai telah keluar dari Macau, tempat terakhir kedudukan beliau diketahui.

Mohamad Fuzi berkata, menurut e-mel daripada pihak berkuasa Macau, Jho Low dipercayai sudah meninggalkan Macau ke destinasi yang tidak diketahui.

Disiarkan pada: July 19, 2018 @ 1:43pm
d