mutakhir

Remaja nafi ugut tembak abang

Oleh Nur Saliawati Salberi

ANGKARA mengugut mahu menembak dan membunuh abang kandungnya, remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.

Tertuduh yang berusia 19 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Analia Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengugut akan menembak dengan senapang angin serta menikam dengan pedang samurai ke atas abangnya yang berusia 22 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Kampung Gelam, Tanjung Kling, kira-kira 2 petang, 15 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria yang melakukan pendakwaan memohon tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM8,000.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguambela merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tidak mempunyai sumber kewangan kerana hanya membantu keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 23 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Disiarkan pada: July 19, 2018 @ 1:54pm
d