mutakhir

PRK Sungai Kandis: BN lawan PH [METROTV]

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim

PAS sedia memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) untuk berdepan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Asyraf berkata, perkara itu dimaklumkan oleh pucuk pimpinan parti untuk memastikan pertandingan satu lawan satu berlaku.

“Setakat ini, pucuk pimpinan memaklumkan PAS sedia memberi laluan kepada BN,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Ketua Pemuda UMNO negeri di Menara Dato Onn di Kuala Lumpur, hari ini.

Asyraf berkata, pergerakan itu juga sudah menyerahkan senarai nama untuk dipertimbangkan pucuk pimpinan parti sebagai calon PRK Sungai Kandis.

“Kita sudah menyerahkan nama. Di peringkat Pemuda, kami mengharapkan calon orang muda di PRK Sungai Kandis, namun itu bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan.

“PRK Sungai Kandis menjadi medan untuk memanfaatkan sepenuhnya jentera BN kerana kekuatan jentera BN adalah di peringkat akar umbi,” katanya.

Sementara itu, Asyraf menyifatkan Pakatan Harapan (PH) sebagai ‘munafik’ kerana gagal menunaikan janji dalam manifesto mereka.

“Benar manifesto bukan al-Quran tetapi janji mereka kepada rakyat dan mana-mana agama pun meletakkan supaya menunaikan janji di tempat tertinggi.

“Gagal melunaskan janji dianggap sebagai munafik dan berdosa besar. Bukan sekadar memohon keampunan daripada Tuhan, mereka perlu meminta maaf kepada semua rakyat,” katanya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sesi soal jawab di Parlimen hari ini berkata, PH tidak menganggap janji manifesto sebagai al-Quran atau Injil.

Katanya terdapat beberapa rintangan yang perlu diatasi terlebih dahulu sebelum janji manifesto dapat ditunaikan antaranya membabitkan aspek perundangan.

“Kalau kami berdosa, kami tanggunglah. Tetapi tidak anggap manifesto sebagai al-Quran atau Injil,” kata Perdana Menteri.

Disiarkan pada: July 19, 2018 @ 5:50pm
d