mutakhir

HSR perlu diteruskan - TMJ

Oleh Ibrahim Isa

TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berpendapat kerajaan Malaysia tidak seharusnya membatalkan projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Dalam wawancara eksklusif bersama Mediacorp hari ini, Tunku Ismail, berkata ia satu projek yang sangat baik sekali dan Malaysia perlu meneruskannya.

“Ia tidak akan hanya membantu Johor tetapi Singapura.

“Ia akan memacu ekonomi Johor, di mana lebih banyak pihak dari luar negara akan melabur di sini.

“HSR satu projek yang sangat baik dan seharusnya kami teruskan, itulah pendapat saya,” katanya.

Bagaimanapun, Tunku Ismail berkata, keputusan untuk meneruskan projek itu bergantung kepada kerajaan Malaysia.

“Tiada apa yang boleh saya lakukan kerana ia sebenarnya terletak di tangan kerajaan (Malaysia) dan pemerintah Singapura," katanya.

Mei lalu, Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan Malaysia bercadang membatalkan projek yang dipersetujui Singapura dan kerajaan sebelumnya.

Bagaimanapun, Singapura menyatakan masih belum menerima sebarang notis rasmi daripada Malaysia.

Semalam, Menteri Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau akan membincangkan isu berkenaan dengan Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan dan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi kedua-dua negara.

Namun, hari ini, Dr Mahathir mengatakan kepada wartawan di Kuala Lumpur bahawa kerajaannya tidak membatalkan projek HSR, sebaliknya hanya menangguhkan projek itu selepas mengkaji kos dan kes membatalkan projek berkenaan.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendedahkan Malaysia dibebani hutang mencecah RM1 trilion (S$340,000 bilion) di bawah pentadbiran sebelumnya.

Berikutan itu, kerajaan Pakatan Harapan cuba mengurangkan hutang negara dan menetapkannya sebagai satu keutamaan serta menyemak semula projek mega untuk mengurangkan hutang dan liabiliti negara.

Disiarkan pada: July 19, 2018 @ 8:28pm
d