mutakhir

Tembak sebab tak dapat dadah

Oleh Muhammad Apendy Issahak

BERANG tidak lagi diberikan bekalan dadah, seorang lelaki mengamuk dan melepaskan tembakan terhadap dua individu dalam kejadian di hadapan sebuah rumah di Jalan Sungai Baru, Tanjung Piandang di Parit Buntar, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, lelaki berusia 37 tahun berkenaan melepaskan tembakan menggunakan pistol jenis Smith & Wesson.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kerana lelaki berkenaan marah dan tidak berpuas hati terhadap dua individu berusia 38 dan 36 tahun kerana tidak mahu memberi bekalan dadah lagi.

“Lelaki terbabit juga dikatakan diugut oleh kedua-dua kenalannya itu yang mahu membakar rumahnya dan kemudian bertindak agresif dengan membawa sepucuk pistol serta melepaskan tembakan terhadap dua lelaki berkenaan.

“Tembakan yang dilepaskan bagaimanapun tersasar sebelum lelaki terbabit melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal," katanya.

Sumber berkata, susulan itu, dua individu yang cuba ditembak berkenaan mengejar lelaki terbabit menaiki sebuah kereta bersama dua lagi individu berusia 28 dan 32 tahun.

“Motosikal ditunggang lelaki yang melepaskan tembakan itu kemudian dirempuh dari belakang menyebabkan lelaki terbabit jatuh melambung di atas jalan.

“Polis yang mendapat maklumat mengenai kejadian kemudian bertindak memberkas lelaki yang melepaskan tembakan itu dan juga seorang daripada lelaki yang merempuhnya," katanya.

Menurutnya, hasil maklumat soal siasat dijalankan ke atas kedua-dua lelaki berkenaan polis kemudian berjaya menahan tiga lagi lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan bagi membantu siasatan.

“Polis turut merampas sepucuk pistol berserta satu kelopak peluru mengandungi dua butir peluru," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob dijangka akan mengadakan sidang media berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian pada jam 11 pagi esok.

Disiarkan pada: July 19, 2018 @ 9:39pm
d