mutakhir

Optimis sasar pelaburan RM383b pada 2025 [METROTV]

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

Johor Bahru: Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) berjaya menarik pelaburan terkumpul RM10.9 bilion dari Januari hingga Jun lalu.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, ia menjadikan pelaburan komited terkumpul dari 2006 hingga Jun lalu berjumlah RM263.95 bilion.

Beliau yang juga Pengerusi Bersama IRDA berkata, daripada jumlah itu, 58 peratus atau RM154.14 bilion pelaburan sudah direalisasikan.

“Daripada jumlah terkumpul, 61 peratus (RM161 bilion) pelaburan datang daripada pelaburan domestik manakala pelaburan asing adalah 39 peratus (RM102.9 bilion).

“Berdasarkan laporan pelaburan terkini, saya optimis bahawa Iskandar Malaysia boleh mencapai sasaran pelaburan RM383 bilion pada 2025,” katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat dan mesyuarat tertutup bersama pengurusan tertinggi IRDA di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim.

Osman berkata, daripada RM102.9 bilion pelaburan asing diterima Iskandar Malaysia, China mencatatkan nilai tertinggi iaitu RM36.35 bilion, diikuti Singapura (RM21.98 bilion), Amerika Syarikat (RM6.87 bilion), Jepun (RM4.41 bilion) dan Sepanyol (RM4.18 bilion).

“Sepanjang 2006 hingga Jun lalu juga, ASEAN mencatatkan nilai pelaburan RM23.74 bilion manakala Kesatuan Eropah (EU) RM13.62 bilion.

“Kejayaan pelaburan ini juga akan mewujudkan lebih daripada 700,000 peluang pekerjaan iaitu 31 peratus daripada jumlah itu adalah pekerjaan separa kemahiran dan berkemahiran,” katanya.

Sementara itu, Osman berkata, kerajaan negeri tidak merancang mengambil alih syarikat utiliti SAJ Ranhill Sdn Bhd (SAJ Ranhill).

Menurutnya, pengambilalihan memerlukan perbincangan dan proses rundingan antara kerajaan negeri dan SAJ Ranhill yang bukan satu perkara mudah.

Beliau turut mempersoalkan formula yang dicadangkan kepemimpinan terdahulu jika mahu mengambil alih SAJ Ranhill, sedangkan syarikat utiliti itu tidak pernah membangkitkan perkara mahu menjualnya kepada kerajaan negeri.

Disiarkan pada: July 20, 2018 @ 10:22am
d