mutakhir

Sampah menggunung, bau busuk 'menu' penduduk Sungai Kandis

Oleh Faliq Lajim

KEHIDUPAN penduduk Sungai Kandis, Shah Alam yang berdepan dengan masalah pencemaran bau, jalan berhabuk serta gangguan bunyi bising sejak beberapa tahun yang berikutan wujudnya tapak pelupusan sampah haram, kini semakin parah.

Penduduk mendakwa, masalah yang sudah berlarutan sudah empat tahun itu terpaksa dihadapinya apabila tapak pelupusan itu hanya terletak kira-kira 100 meter dari kawasan kampung di situ sehingga menjejaskan kualiti kehidupan mereka.

Kehadiran lalat serta bau yang sangat busuk terutamanya pada waktu malam dan juga ketika hujan menjadi lumrah kepada penduduk di situ setiap hari walaupun mereka tidak rela.

Mereka turut mendakwa, setakat ini, tiada pihak bertanggunjawab yang tampil untuk menerangkan berkenaan kewujudan tapak pembuangan sampah yang muncul secara tiba-tiba itu.

Salah seorang penduduk di Kampung Telok Menegon, di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Mohamad Hafeze Mohd Khairuddin, 19, berkata, masalah itu menyebabkannya serta penduduk lain terpaksa berhadapan dengan bau busuk hampir setiap masa.

Beliau yang tinggal di situ sejak dari lahir berkata, beberapa tahun lalu tempat pelupusan yang terletak di belakang tempat tinggalnya itu hanya dipenuhi dengan semak samun sahaja.

“Namun, beberapa tahun lalu tempat itu dibersihkan. Tidak lama kemudian ada lori sampah buang sisa pepejal di situ, tetapi sekejap saja berikutan mereka berpindah di tapak pelupusan haram di Bukit Badak yang tidak jauh di sini.

“Awal tahun lalu, tapak pelupusan Bukit Badak itu ditutup dan mereka berpindah ke sini semula. Bayangkan saja tidak sampai setahun longgokan sampah sudah tinggi ‘mengunung’.

“Kami terpaksa berhadapan dengan bau busuk terutamanya ketika hujan serta kehadiran lalat yang banyak berikutan tapak itu terlalu dekat dengan kampung kami,” katanya kepada NSTP.

Justeru, beliau amat berharap agar tindakan segera daripada pihak berwajib boleh diambil demi kesejahteraan penduduk di sini.

Bagi suri rumah, Norasyikin Abdul Jalil, 32, yang juga penduduk di situ, berkata kewujudan tapak sampah haram ini membuatkan beliau tidak selesa apabila tetamu bertandang ke rumah.

“Bayangkan ketika sambutan Aidilfitri yang lalu, ada tetamu menegur rumah saya berbau busuk. Bila ada orang datang rumah mesti kita nak buat orang rasa selesa. Ini tetamu datang pun terpaksa menghidu bau busuk juga.

“Malah, apabila saya sedang masak, kehadiran lalat yang banyak menimbulkan rasa kurang senang berikutan bimbang akan kesihatan keluarga saya,” katanya.

Norasyikin berkata, beliau serta penduduk yang lain mahu diberi penjelasan berkenaan masalah yang dihadapi itu.

Bagi penduduk Kampung Sungai Kandis yang juga kakitangan swasta, Muhammad Faliq Khizamir Hamdan, 23, berkata perkara ini sudah berlaku terlalu lama dan berterusan iaitu sejak tahun 2014 dan sehingga kini.

Beliau berkata, apa yang lebih membimbangkan apabila kehadiran anjing liar yang sering berlegar-legar di kawasan sampah berkenaan.

“Bila ada anjing liar kita takut ia akan membahayakan keselamatan penduduk terutamanya kanak-kanak. Malah, anjing-anjing liar itu juga kerap membuat kotor dengan menggeledah sampah berkenaan dan membawa ke sana sini.

“Kita minta tapak itu ditutup untuk selama-lamanya dan tidak perlu dibuka lagi. Jangan sampai Kampung Telok Menegon dan Sungai Kandis ini nanti ditutupi dengan sampah.

“Bayangkan saja, dalam masa satu jam saja berpuluh lori datang buang sampah dekat sini. Jadi berapa sampah yang dibuang di kampung ini. Kampung ini tidaklah besar mana.

“Itu tidak termasuk masalah jalan raya berlubang dan rosak berikutan terlalu banyak lori yang keluar masuk seterusnya mendatangkan bahaya kepada penduduk Sungai Kandis,” katanya.

Disiarkan pada: July 20, 2018 @ 11:26am
d