mutakhir

Tiada kaitan murid SK Lembah Keramat

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Sekolah Kebangsaan Lembah Keramat, di sini, menafikan tular kejadian murid Tahun 6 yang sudah 53 hari tidak hadir ke sekolah adalah pelajarnya.

Sebaliknya, kisah murid terbabit diambil dari media sosial sebagai pengajaran kepada semua pihak.

Dalam kenyataan dikeluarkan pihak sekolah menerusi aplikasi Telegram meminta orang ramai menghentikan penularan gambar berkenaan.

“Diharap semua pihak menghentikan viral foto berkenaan. Ia bagi mengelakkan kekeliruan,” katanya.

Semalam tular beberapa keping gambar di media sosial menunjukkan anggota polis hadir ke rumah seorang murid kononnya untuk menghantar murid itu ke sekolah.

Maklumat tersebar mendakwa murid terbabit sudah 53 hari tidak hadir ke sekolah akibat gagal bangun pada waktu pagi berikutan ketagihan bermain permainan video.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu, sekali gus menafikan anggotanya terbabit dalam isu viral itu.

Disiarkan pada: July 20, 2018 @ 11:50am
d