mutakhir

Gaji pekerja asing tanpa pas

Oleh Sarah Zulkifli

Petaling Jaya: Seorang pengurus syarikat pembersihan tidak berlesen didenda RM55,600 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan menggajikan lima pekerja warga Indonesia tanpa pas sah dan membenarkan seorang lagi tinggal tanpa pas sama.

Hakim Azwarnida Affandi menjatuhi hukuman itu terhadap Hii Chee Kee, 36, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah sebaik semua pertuduhan pindaan ke atasnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh membayar pampasan gaji RM47,060 kepada semua enam mangsa dalam tempoh seminggu bermula semalam.

Selain itu, tertuduh boleh dipenjara 33 bulan jika dia gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama hingga kelima, lelaki itu mengambil lima pekerja wanita warga Indonesia dalam lingkungan 22 hingga 26 tahun tanpa pas yang sah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Putera Impian, Puchong di sini, jam 2.35 pagi, 18 April lalu mengikut Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya.

Mengikut pertuduhan pindaan terakhir, dia didakwa membenarkan seorang lagi wanita warga Indonesia yang tidak memiliki pas sah masuk dan tinggal di premis miliknya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat sama antara September 2015 hingga April 2017 mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 55E(2) kanun sama yang membawa hukuman denda maksimum RM30,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap imigran haram yang dijumpai di premis.

Terdahulu, peguam Zeffree Zainuddin memohon hukuman denda minimum atas alasan anak guamnya insaf serta perlu menanggung ahli keluarga selain isterinya yang sarat mengandung.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Imigresen Malaysia, Aiza Khairuddin membantah hukuman denda minimum mengambil kira faktor perbicaraan kes berjalan sejak Ogos tahun lalu hingga semua enam mangsa dipanggil untuk memberi keterangan.

“Syarikat yang dimiliki tertuduh tidak berlesen, sekali gus tindakan ini mendedahkan semua mangsa dengan risiko untuk ditahan pihak berkuasa.

“Justeru, saya mohon satu hukuman berat selain pembayaran pampasan gaji kepada semua mangsa dalam tempoh seminggu,” katanya.

Mengikut fakta kes, serbuan dilakukan Jabatan Imigresen ke atas dua premis yang dimiliki tertuduh dan menyelamatkan enam mangsa yang dikunci daripada bahagian luar.

Hasil siasatan mendapati, tertuduh yang juga pengurus sebuah syarikat pembersihan tanpa lesen menggunakan khidmat semua mangsa untuk melakukan kerja pembersihan tanpa membayar gaji dan hanya menghantar wang kepada keluarga mangsa sahaja.

Disiarkan pada: July 20, 2018 @ 12:01pm
d