mutakhir

Padah usik meter elektrik

Oleh Mahaizura Abd Malik

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Selasa lalu, membenarkan tuntutan Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM6,966,011.10 terhadap JCY HDD Technology Sdn Bhd berikutan pengusikan pepasangan meter elektrik.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membenarkan tuntutan TNB selaku plaintif terhadap defendan dengan kos sebanyak RM25,000 dan menolak tuntutan balas defendan.

Tuntutan itu selaras dengan peruntukan Seksyen 38 (3) hingga (5) Akta Bekalan Elektrik 1990 bagi pengusikan antara 20 September 2007 hingga 20 November 2009.

Dalam penghakiman itu, TNB berjaya membuktikan berlaku pengusikan pepasangan meter merekodkan bacaan penggunaan elektrik di kilang defendan yang menghasilkan dan mengedarkan komponen mekanikal pemacu cakera keras.

Tuntutan itu bagi kedua-dua kilang defendan terletak di Plot 553, Lorong Perusahaan 4, Perai dan Plot 55(a), Mukim 13, Taman Perindustrian Bukit Minyak, Seberang Prai Tengah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Jenis pengusikan yang dikesan ialah litar arus S1 dan S2 bagi ketiga-tiga fasa merah, biru dan kuning yang dipintas menggunakan alat pemintas tembaga.

Selain itu, litar arus S1 dan S2 diganggu menggunakan alat dawai pemintas tembaga di mana ‘link’ Test Terminal Blok meter dipintas pada bahagian S1 untuk fasa merah, kuning dan biru ke bumi.

TNB diwakili peguam Hadi Mukhlis Khairulmaini dari Tetuan Steven Thiru & Sudhar Partnership yang mengemukakan writ saman pada 23 Februari 2011.

Defendan pula diwakili peguam Prathib Kumar dari Tetuan Kandiah Partnership.

TNB memanggil tujuh saksi manakala defendan mengemukakan seorang saksi untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Perbicaraan penuh berlangsung pada 5 Mei, 31 Julai, 6 dan 13 September, 11 Oktober, 15 November, 13 dan 14 Disember 2017 serta 11 Januari dan 27 Februari lalu.

Disiarkan pada: July 20, 2018 @ 2:39pm
d