mutakhir

Maut terjerut buaian anak

Oleh Mohd Rizal Abdullah

LELAKI ditemui maut dengan tali buaian terjerut pada lehernya di Pujut, Miri, semalam.

Sumber memberitahu NSTP, mangsa berusia 40 tahun, ditemui maut 11.30 pagi oleh adik iparnya sebelum menghubungi Balai Polis Miri.

"Sepasukan pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi sejurus menerima maklumat mengenai kejadian itu. Malah, pasukan perubatan turut dikerahkan ke lokasi bagi menyalurkan bantuan.

"Bagaimanapun, lelaki terbabit disahkan sudah meninggal dunia. Hasil pemeriksaan mendapati tiada kesan pergelutan ataupun senjata berhampiran lelaki terbabit," katanya.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati mangsa tinggal di rumah berkenaan bersama isteri dan anak perempuan mereka berusia lima tahun, selain adik ipar lelakinya berusia 22 tahun.

Bagaimanapun, sumber menjelaskan ketika kejadian, isteri lelaki terbabit pulang ke kampungnya di Bekenu bersama anak perempuan mereka untuk mengutip sawit.

"Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes buat masa ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Miri, Deputi Superintendan Aldrin Junaidi Kutoi ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Disiarkan pada: July 20, 2018 @ 3:03pm
d